SEREMBAN – Pertikaman lidah antara Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke semakin panas apabila Wee membalas sindiran bahawa MCA merupakan pihak paling rugi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Wee berkata, Anthony mempunyai alasan untuk begitu yakin dengan kedudukan DAP di negeri itu, terutama apabila MCA gagal memenangi sebarang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan sejak 2008.
Namun, beliau menegaskan rekod buruk tersebut bukan alasan untuk MCA menyerah kalah atau berhenti berusaha mendapatkan semula kepercayaan pengundi.
“Anthony Loke mempunyai segala sebab untuk berasa sangat yakin dengan kedudukan DAP di Negeri Sembilan dan menyifatkan MCA sebagai pihak paling rugi.
“Hakikatnya mudah, MCA tidak memenangi satu pun kerusi DUN di Negeri Sembilan sejak 2008,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Wee, MCA juga tidak mahu berpura-pura mengenai kekuatan sebenar parti itu apabila mengambil keputusan untuk tidak bertanding di tiga kerusi selepas penilaian menunjukkan peluang kemenangan terlalu rendah.
Katanya, MCA mengalami kekalahan besar di kawasan terbabit dalam beberapa pilihan raya lalu dan keputusan untuk tidak bertanding dibuat berdasarkan pertimbangan politik yang realistik.
Bagaimanapun, beliau berkata MCA masih percaya mempunyai peluang untuk memberikan saingan di tujuh kerusi yang ditandingi pada PRN kali ini.
“Dalam tujuh kerusi yang kami tandingi, kami percaya masih mempunyai peluang untuk melawan.
“Kami juga memahami bahawa tiada siapa berhutang undi kepada MCA,” katanya.
Wee berkata, selepas 18 tahun tanpa seorang pun wakil MCA dalam Dewan Undangan Negeri Sembilan, parti itu perlu kekal merendah diri, bekerja lebih keras dan meyakinkan pengundi seorang demi seorang.
Menurutnya, MCA pada hakikatnya sedang memulakan semula perjuangan politiknya di Negeri Sembilan dan tidak boleh bersikap angkuh atau menganggap sokongan mana-mana pengundi sebagai sesuatu yang pasti.
“Kami hanya boleh membuktikan bahawa sekiranya diberikan peluang, wakil MCA mampu bekerja keras, bersuara dan menawarkan alternatif yang berwibawa kepada wakil DAP yang telah berada di kawasan-kawasan berkenaan sejak bertahun-tahun,” katanya.
Dalam nada menyindir, Wee turut berterima kasih kepada Anthony kerana terus mengingatkan masyarakat mengenai kelemahan MCA.
Katanya, kritikan itu membantu MCA untuk kekal merendah diri dan tidak mengambil mudah mana-mana pilihan raya.
“Saya benar-benar berterima kasih kepada Anthony Loke kerana sentiasa mengingatkan semua pihak mengenai kelemahan MCA.
“Kritikan menjadikan kami lebih merendah diri. Bagi pihak MCA, saya juga ingin berterima kasih kepada Anthony kerana mengingatkan kami supaya tidak sesekali mengambil mudah sesuatu pilihan raya,” katanya.
Wee turut merujuk kejayaan MCA memenangi semula tiga kerusi DUN dalam PRN Johor minggu lalu sebagai bukti bahawa pengundi masih boleh memberikan peluang kedua kepada parti itu.
“Kami bersyukur pengundi Johor memberikan MCA peluang untuk memenangi semula tiga kerusi DUN.
“Mudah-mudahan pengundi Negeri Sembilan juga mempertimbangkan untuk memberi kami satu lagi peluang di beberapa kerusi di sini,” katanya.



