Perkhidmatan Kesejahteraan Lelaki Diperluas Ke KNS LPPKN Seluruh Negara – Rina

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Perkhidmatan kesejahteraan lelaki akan diperluaskan ke Klinik Nur Sejahtera (KNS) Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di seluruh negara sekiranya projek rintis di KNS LPPKN Dungun, Terengganu mendapat sambutan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata perkhidmatan kesejahteraan lelaki adalah sebagai tambahan kepada fungsi utama KNS LPPKN yang lebih menjurus kepada kesihatan reproduktif wanita dan sebelum ini ia hanya disediakan di KNS LPPKN di Kuala Lumpur.

Beliau berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan memberi fokus kepada keberhasilan projek rintis pertama peringkat negeri di KNS LPPKN Dungun itu, yang menyediakan perkhidmatan khusus untuk bantuan psikososial dan pendidikan kesihatan kepada lelaki setempat.

“Hasrat untuk perluas memang ada. Bila kita laksana projek rintis ini, kita akan tengok sambutannya nanti. Insya-Allah, kalau tengok respons sambutan itu, kita akan perluaskan ke negeri lain,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) KPWKM di sini hari ini.

Daripada 642 penerima APC, 15 daripadanya adalah Orang Kurang Upaya (OKU) termasuk OKU fizikal dan penglihatan yang merupakan pegawai serta kakitangan sokongan di KPWKM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Rina berkata golongan lelaki juga mempunyai masalah kesihatan dan psikososial sama seperti golongan wanita, namun disebabkan sifat segan, mereka malu untuk mendapatkan bantuan.

“Melalui usaha sebegini (perkhidmatan kesejahteraan lelaki), kita harap dapat membantu mengurangkan masalah yang dihadapi golongan ini,” katanya.

Semalam, Rina dilaporkan berkata seramai 22,156 lelaki di negara ini mendapatkan khidmat kaunseling daripada LPPKN atas pelbagai masalah sejak 2019 hingga Jun tahun ini.

Daripada jumlah tersebut, 33 peratus berkaitan masalah dengan pasangan, 20 peratus masalah kewangan, 17 peratus masalah keluarga manakala 30 peratus lagi lain-lain masalah. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat