KUALA LUMPUR- Tujuh agensi kerajaan akan digabungkan bagi menangani penipuan dalam pelaporan kewangan syarikat kerajaan dan swasta.
Tujuh agensi itu ialah Jabatan Audit Negara (JAN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Institut Akauntan Malaysia (MIA).
Tujuh agensi itu digabungkan di bawah Kumpulan Kerja Fraud Perakauan (KKFP) yang akan mewujudkan kolaborasi antara agensi bagi memperkukuh perkongsian maklumat, tipologi jenayah dan analisis trend semasa melibatkan penipuan pelaporan kewangan.
Menurut Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd. Radzi, KKFP juga bertindak sebagai platform strategik rentas agensi untuk pembangunan teknikal, penyelidikan dan inovasi ke arah mengurangkan risiko penipuan perakaunan.
“Selain itu, melalui KKFP pemerkasaan pembangunan kompetensi pegawai agensi badan awam melalui latihan pensijilan dan program perkongsian ilmu fraud perakaunan akan dilaksanakan,” katanya dalam Majlis Peluncuran KKFP, semalam.
Wan Suraya berkata, kumpulan kerja yang ditubuhkan bukan sekadar simbolik malah deklarasi komitmen bersama yang menuntut tindakan konkrit dan kolaboratif.
Beliau juga menyatakan kesediaan JAN untuk menyumbang kepakaran dalam mengesan dan menilai risiko penipuan perakaunan melalui pengauditan yang dilaksanakan.
“Perkara ini juga selaras dengan pindaan Akta Audit 1957 [Akta 62] yang memperluaskan kuasa Ketua Audit Negara dalam pelaksanaan pengauditan terhadap badan lain termasuk syarikat yang menerima Jaminan Kewangan, serta pelaksanaan ‘follow the public money’ audit.
“Ini sejajar dengan sasaran yang ditetapkan oleh Kerajaan MADANI untuk Malaysia berada dalam kalangan 25 negara teratas dunia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang tahun 2033,” lapor Utusan.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, KKFP boleh menjadi ‘senjata’ dalam mengesan semula wang atau aset hasil rasuah yang disembunyikan di luar negara.
Kata beliau, fokus KKFP ialah mengesan transaksi pengubahan kewangan yang mencurigakan hasil sumber dana awam yang dicuri.
“Bukan senang untuk kita kesan yang yang dicuri dan disembunyikan di luar negara. Sebagai contoh, dalam taklimat berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), banyak yang perlu dibuat dan ia bukan kerja mudah, memerlukan kepakaran.
“Tanpa pakar, proses mendapatkan semula wang berkenaan akan mengambil masa lebih lama,” katanya.
Mengenai 1MDB, Azam menyifatkan kes itu kompleks dan mencabar kerana banyak aset yang dicuri berada di luar negara.