Search kecoh lagi

- Advertisement -

Kuala Lumpur: Bekas penyanyi kumpulan Search, Amy, pemain bass, Nasir dan waris keluarga pemain dram, Allahyarham Yazit meminta individu bernama Mozylir Mokhtaruddin dan syarikat, Home of Champions menghentikan penggunaan nama Search untuk mengaut keuntungan dengan penjualan pakaian dan aksesori di atas nama Search.

Mereka dalam satu kenyataan mendakwa pihak terbabit menggunakan nama Search tanpa kebenaran Amy, Nasir dan waris Yazit.

Mereka mendakwa Mozylir dan Home of Champions menggunakan nama ‘fenomenasearch’ melalui laman web www.fenomenasearch.com dan menggunakan alamat e-mel yang memakai nama domain fenomenasearch.com.

Ini termasuk penjualan pakaian dan aksesori menggunakan nama Search atau imej yang berkaitan dengan Search melalui laman web itu, Facebook, Instagram dan Shopee selain menjual kasut Aliph x Search – Edisi 2021 atas dasar penjualan terhad kepada 999 unit.

“Kami sudah mengambil nasihat guaman dan mengeluarkan tuntutan terhadap Mozylir dan Home of Champions untuk menghentikan kegiatan itu,” kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, mereka turut menjelaskan mengenai persetujuan bersama untuk menjaga hak Yazit walaupun selepas dia meninggal dunia pada 2019.

“Selepas Yazit meninggal dunia, anggota Search bersetuju untuk memastikan hak-hak Yazit kepada nama Search dan kerja-kerjanya untuk Search sejak tahun 1981 akan diberikan kepada waris-warisnya,” katanya.

Sementara itu, Home of Champions dalam satu kenyataan di Facebook berkata, pihaknya akan membuat kenyataan menerusi peguam mereka dalam masa terdekat ini.

Search yang ditubuhkan pada 1981 pada awalnya dianggotai oleh Amy, Yazit, Hillary Ang dan Daud.

Mereka kemudian disertai oleh Nasir dan Noordin.

Selepas album ketiga, Mentari Merah Di Ufuk Timur, Hillary meninggalkan Search dan digantikan oleh Kid.

Album terakhir Search, Katharsis yang dihasilkan pada 2017 menampilkan Amy, Nasir, Noordin dan Kid tanpa Yazit yang uzur.

Tahun lalu, Amy mengambil keputusan berundur dari Search. Search kemudian menggunakan khidmat penyanyi Wings, Datuk Awie untuk Konsert Projek Bikin Wilayah 2021.

Bagaimanapun, konsert yang sepatutnya berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam pada Februari lalu dibatalkan berikutan penularan Covid-19.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat