Jika Laksana PKP Penuh, Perlu Disertakan Pakej Bantu Rakyat, Peniaga – Pakar Ekonomi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh jika perlu dilaksanakan sekali lagi perlu disertakan pakej bantuan untuk rakyat dan peniaga kecil, sama seperti dua PKP yang dilaksanakan sebelum ini.

Pakej bantuan atau rangsangan ekonomi berkenaan tidak semestinya meningkatkan hutang kerajaan, sebaliknya boleh diberikan dengan kerjasama bank dan organisasi berkaitan, selain dilakukan secara bersasar.

Pengurus Pembangunan Perniagaan, Putra Business School (PBS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata tidak dapat dinafikan PKP penuh akan membawa kesan negatif kepada ekonomi, namun ia kemungkinan harus dilakukan bagi membendung penularan kes dan memastikan sistem kesihatan negara tidak lumpuh.

“Justeru, antara perkara yang boleh dilakukan adalah pihak bank memberi bantuan moratorium bersasar kepada peminjam individu dan peniaga yang mengalami kesukaran membayar komitmen bulanan.

“Bank masih mampu memberi moratorium kerana bank masih mencatatkan keuntungan.

“Selain itu, pemilik bangunan juga harus memberikan moratorium sewa dan pihak berkuasa tempatan (PBT) memberi moratorium atas cukai taksiran,” katanya kepada BH, hari ini.

Sejak kebelakangan ini, beberapa pihak mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan PKP penuh dengan turut membabitkan penutupan sektor ekonomi antaranya di Selangor, susulan kes COVID-19 yang semakin meningkat dan tidak menunjukkan tanda penurunan.

Hari ini, Malaysia sekali lagi mencatatkan kes harian tertinggi sejak COVID-19 dilaporkan di negara ini pada Februari tahun lalu, iaitu 6,806 kes, mengatasi 6,075 kes yang dilaporkan semalam.

Sejak negara dilanda COVID-19 dan PKP dilaksanakan sebelum ini, kerajaan sudah memperkenalkan enam pakej bantuan untuk membantu rakyat dan peniaga yang terjejas berikutan penutupan sektor ekonomi serta pengecilan operasi perniagaan, yang menyebabkan sebahagian rakyat hilang pekerjaan dan sumber pendapatan.

Pakej berkenaan adalah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Prihatin PKS, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Khas: Kita Prihatin, Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) dan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA).

Selain itu, Ahmed Razman berkata, kerajaan juga boleh memberi bantuan dalam bentuk baucar atau kredit kepada individu dan peniaga untuk membeli barangan serta perkhidmatan asas.

“Organisasi yang menerima baucar atau kredit ini kemudian boleh mendapatkan rebat apabila mereka memfailkan tuntutan cukai daripada kerajaan.

“Dengan cara ini, kerajaan tidak perlu menambah hutang untuk melaksanakan pakej rangsangan fiskal yang terkini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Penyelidikan Risiko Ekonomi dan Politik, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, berkata jika PKP penuh perlu dilaksanakan, ia hanyalah jalan terakhir yang boleh diambil bagi membendung penularan kes COVID-19 yang semakin kritikal dan perlu dilakukan secara bersasar.

“Jika beberapa kawasan akan dikenakan PKP yang lebih ketat, bantuan daripada kerajaan juga perlu disediakan untuk mengurangkan beban mereka, terutama golongan rentan dan mereka yang bekerja dalam sektor tidak rasmi, yang tidak mempunyai pendapatan tetap serta stabil.

“Begitu juga bagi mereka yang berada dalam perindustrian kecil dan sederhana (PKS) serta industri yang masih lagi terjejas teruk seperti pelancongan, penerbangan, dan hospitaliti,” katanya.

Irwan Shah berpandangan, PKP penuh seperti yang dilaksanakan pada Mac lalu tidak memberikan penyelesaian yang menyeluruh dalam konteks memastikan keluk jangkitan dapat terus dilandaikan.

“Selepas kes jangkitan dapat diturunkan dengan kos ekonomi yang sangat tinggi, ia kemudian meningkat semula. Apa yang pasti, apabila model PKP yang pertama dilaksanakan semula, sektor ekonomi akan terjejas teruk dan ramai rakyat akan hilang pekerjaan serta sumber pendapatan, selain usaha pemulihan ekonomi akan terjejas.

“Pada ketika ini pun, ramai lagi rakyat dan peniaga yang masih lagi belum pulih sepenuhnya akibat pelaksanaan dua PKP sebelum ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut meminta rakyat mengubah sikap dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) secara lebih serius, selain usaha kerajaan dalam meningkatkan lagi kapasiti ujian saringan, pengesanan kontak dan proses pengasingan.

“Ini bagi saya lebih baik daripada kerap kali membuka dan menutup pergerakan rakyat dengan pelaksanaan PKP serta pelbagai versi PKP berkenaan,” katanya. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat