Istilah ‘Kerjasama’ Dengan Pembangkang Bagi Bangunkan Negeri, Rakyat – Bung Mokhtar

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Soal kerjasama yang dibangkitkan oleh Parti Bersatu Sabah (PBS) kepada parti pembangkang sebelum ini adalah lebih kepada kerjasama untuk membangunkan Sabah serta meningkatkan ekonomi rakyat yang terjejas susulan pandemik COVID-19.

Timbalan Pengerusi I Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan kerjasama yang dinyatakan itu bukannya kerjasama untuk membentuk kerajaan negeri baharu.

Justeru, beliau meminta pembangkang di negeri itu supaya tidak memanipulasi istilah kerjasama yang dinyatakan PBS itu sebagai kerjasama politik.

“Malah kami dalam GRS bersedia menjalin kerjasama dalam idea dan pandangan membangunkan negeri demi kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, walaupun kerajaan negeri ditadbir oleh GRS, ia tidak bermakna kerajaan tidak mendengar pandangan serta cadangan daripada pembangkang yang boleh membawa kebaikan untuk negeri dan kesejahteraan rakyat.

“Kami tidak menutup pintu. Setiap input baik dan saranan positif daripada pembangkang akan kami dengar dan memperhalusinya,” kata Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu pembentukan kerajaan negeri baharu mengaitkan antara kerjasama PBS dan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang hangat diperkatakan termasuk di media sosial.

GRS merupakan gabungan daripada parti dalam Perikatan Nasional (Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku – Star, Parti Progresif Sabah – SAPP dan Pas); BN (UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan PBS.

Bung Moktar menyifatkan isu itu hanyalah sebagai khabar angin yang cuba dimainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mengelirukan rakyat.

Menurutnya, tidak mungkin berlaku pertukaran kerajaan baharu kerana perjanjian antara gabungan parti dalam GRS telah dimeterai sebelum ini dalam usaha memastikan kestabilan politik Sabah.

“Kerjasama boleh wujud dalam banyak bentuk dan tidak semestinya bergabung untuk membentuk jajaran parti politik baharu,” katanya, sambil meminta rakyat Sabah agar tidak terpengaruh dengan propaganda dimainkan pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja mencipta isu demi kepentingan politik mereka.

Baru-baru ini, Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyatakan hasrat menjalin kerjasama dengan PBS dan parti nasional lain di Semenanjung bagi membina sebuah negara lebih baik untuk rakyat.

Susulan daripada itu, Presiden PBS Datuk Seri Maximus Ongkili menyambut baik hasrat berkenaan dan menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik tempatan termasuk Warisan.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat