CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah membuat laporan polis terhadap tiga individu – Badrul Hisham bin Shaharin (Chegubard), Mohamad Salim bin Iskandar (Salim Iskandar) dan Wan Muhammad Azri bin Wan Deris (Papagomo), kerana membuat dan menyebarkan tuduhan palsu terhadap pegawai-pegawai MCMC.
Menurut kenyataan media SKMM, laporan polis tersebut dibuat pada 19 April 2024 berdasarkan kandungan yang dimuat naik oleh ketiga-tiga individu berkenaan di platform media sosial TikTok, Facebook serta Youtube pada 17 April 2024.
Jelas SKMM, kandungan terbabit menggambarkan seolah-olah pegawai MCMC bertindak di bawah arahan yang mempunyai kepentingan politik, selain bersifat penyalahgunaan kuasa.
Pada masa sama, ada antara tiga individu tersebut telah memfitnah SKMM dengan menyatakan pegawai-pegawai yang terlibat dalam rakaman percakapan sudah muak dengan kerajaan semasa, serta bertanya bila kerajaan akan bertukar.
“Sebuah badan berkanun, SKMM melaksanakan tugas dan tanggungjawab berpandukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan kesemua undang-undang subsidiari yang terkandung dalamnya.
“Oleh itu, SKMM menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang dibuat individu-individu ini dan menyerahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melakukan siasatan.
“Penyebaran tidak benar termasuk dengan niat menganggu pihak lain adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali,” kata SKMM, pada Sabtu.
SKMM menasihatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian dan aplikasi dalam talian untuk menyebarkan sebarang kandungan tidak sahih dan palsu.-SUARATV