PASleak: Wujud Campur Tangan Urusan Mahkamah, Zahid Akan Lapor Polis

KUALA LUMPUR- Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan berhubung tular dokumen minit mesyuarat yang didakwa mempunyai unsur campur tangan terhadap pertuduhan di mahkamah yang sedang dihadapi bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam ahli Parlimen Bagan Datuk itu, Hisyam Teh Poh Teik.

Jelas Hisyam, pihaknya terkejut dengan kandungan dokumen dibocorkan di media sosial yang antaranya ada menyebut “perlu ada campur tangan segera dalam kes mahkamah agar mempercepatkan jatuh hukum”.

Katanya, frasa itu jelas merujuk kepada pertuduhan di mahkamah sedang dihadapi bekas timbalan perdana menteri itu. Zahid berdepan 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

“Laporan polis akan dibuat dan kami meminta pihak yang relevan untuk membuat siasatan menyeluruh sama ada wujud cubaan menimbulkan syak terhadap integriti proses kehakiman,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ahad lalu, beberapa dokumen dikatakan minit mesyuarat Perikatan Nasional (PN) tular di media sosial, didakwa berkaitan pertemuan antara Naib Presiden PAS Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta beberapa pemimpin parti lain pada 24 dan 27 Mac serta 4 dan 7 April.

Selain itu, pemimpin yang dinyatakan dalam minit itu ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin dan Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) Hishammuddin Hussein.

Bagaimanapun, Samsuri yang juga menteri besar Terengganu menafikan wujudnya pakatan pemimpin tertinggi PAS bersama parti lain untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN) sebagaimana tercatat dalam beberapa dokumen yang tular itu.

Beliau menyifatkan dokumen ditularkan itu sebagai “sampah” dan tidak perlu dipercayai kerana dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

“Dokumen sampah macam itu pun orang percaya juga ke? Ia tidak benar, tidak tahu dari mana datangnya. Ejaan nama saya pun tak betul. Dia (pihak tidak bertanggungjawab itu) tahu ada pertemuan itu maka dibuatlah naratif (seperti yang tular),” katanya.