Pavilion Malaysia Raih Anugerah Emas Di Dubai- PM

KUALA LUMPUR -Pavilion Malaysia telah merangkul Anugerah Emas bagi Tafsiran Tema di bawah kategori Pavilion Kecil oleh Bureau International des Expositions (BIE) bersempena Pavilion Ekspo Dubai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengiktirafan itu mencerminkan kejayaan Malaysia di pentas antarabangsa dalam menyampaikan komitmen negara terhadap kelestarian dengan mengekalkan biodiversiti.

“Anugerah ini juga merupakan testimoni antarabangsa terhadap pengisian program-program di Pavilion Malaysia seiring dengan tema, konsep dan reka bentuk Pavilion bertemakan kanopi hutan hujan (rainforest canopy) dengan mengguna pakai pelbagai konsep semula jadi seperti air terjun, taman-taman menegak dan elemen-elemen semula jadi yang lain,” katanya dalam catatan di Facebook beliau pada Rabu.

Sebelum ini, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi memaklumkan Pavilion Malaysia merangkul Anugerah Emas pertamanya bagi kategori Tafsiran Tema sempena Anugerah Pavilion 2020 Dubai, yang dihoskan penganjur Bureau International des Expositions.

Kategori itu mengiktiraf tafsiran pavilion (bagi yang berukuran kurang daripada 1,750 meter persegi) berkaitan tema Ekspo 2020 Dubai ‘Menghubungkan Minda, Mencipta Masa depan’, dengan subtema ‘Kelestarian, Mobiliti dan Peluang’.

Kementerian itu dalam kenyataan berkata, setiap pavilion dinilai dari segi keberkesanan komunikasinya dengan dunia mengenai usaha untuk menyelesaikan cabaran mendesak yang berkaitan dengan tema terbabit.