MT UMNO bersidang 25 April penentu hayat PN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Hayat kerajaan Perikatan Nasional (PN) bakal ditentukan menerusi mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang dijadual 25 April ini bagi membincangkan agenda besar itu?

Perhimpunan Agung UMNO 2020 pada hujung bulan lepas sebulat sua­ra memberikan mandat kepada MT untuk menentukan tempoh kepada UMNO menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN.

Ini adalah mesyuarat MT pertama UMNO selepas perhimpunan pada 28 Mac lalu.

Selain itu memetik Utusan Malaysia, keputusan sama ada pemilihan UMNO diadakan seperti dijadual atau ditangguhkan dijangka turut dibincangkan dalam mesyuarat pada Ahad ini.

Sumber memberitahu akhbar itu, mesyuarat dijangka berlangsung pada pukul 3 petang di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (PWTC).

“Mengikut jadual, ia diadakan pada 25 April ini. Ia akan membincangkan perkara diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 sebelum ini dengan memberi mandat kepada Presiden dan MT untuk putuskan beberapa perkara.

“Ia termasuk tempoh sokongan kita kepada PN dan pilihan raya umum mesti diadakan pada 1 Ogos atau tarikh sebelumnya jika darurat ditamatkan,” kata sumber itu semalam.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sekiranya PN tidak membubarkan Parlimen sebelum atau selepas tempoh darurat 1 Ogos, UMNO akan menarik diri daripada menyokong kerajaan sedia ada.

Sementara itu, di Pontian, Johor, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pula berkata, mengikut perlembagaan parti, kuasa untuk mengadakan pemilihan UMNO terletak pada MT yang akan membuat keputusan pada mesyuarat tersebut.

Mengesahkan mesyuarat itu diadakan pada bulan Ramadan ini, beliau berkata, mesyuarat sama akan memutuskan tarikh mesyuarat di peringkat cawangan yang melibatkan 21,833 cawangan UMNO termasuk di peringkat sayap Wanita, Pemuda dan Puteri.

Menurut beliau, sekiranya pemilihan parti diadakan, 191 bahagian UMNO pula akan mengadakan persidangan masing-masing melibatkan empat peringkat termasuk sayap-sayap berkenaan dengan 764 mesyuarat berlangsung.

“Keputusan mengadakan pemilihan UMNO terletak di tangan M. Berdasarkan kepada perlembagaan parti, mesyuarat perlu diadakan dalam tempoh tiga tahun yang mana kali terakhir pada 2018.

“Malah, perlembagaan juga menyebut (mesyuarat boleh) ditangguhkan kepada 18 bulan yang dibenarkan oleh peraturan itu sebagaimana dilakukan sebelum ini,” katanya.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, UMNO kini mempunyai keahlian 3,359,368 juta orang iaitu parti yang mempunyai keahlian teramai di negara ini.

“Dengan keahlian yang ramai, MT akan menentukan kaedah pemilihan sesuai supaya semua berpeluang menghadiri mesyuarat sama ada di peringkat cawangan, bahagian seterusnya MT sendiri,” ujarnya.

Justeru, beliau berharap semua pihakmenyerahkan kepada kebijaksanaan MT untuk membuat keputusan yang tentunya mengambil kira banyak faktor demi kepentingan parti.

Sebelum ini, beberapa pemimpin UMNO termasuk bekas Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menggesa pemilihan parti diadakan segera sebaik tempoh matang kepimpinan parti tamat.

Ahli Parlimen Rembau itu juga menggesa MT mengadakan pemilihan parti sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi menyelesaikan kemelut dalaman yang sedang melanda. -SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat