KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin bersama 16 Ahli Parlimen Bersatu didakwa bakal menyertai parti politik lain atau ‘rumah baharu’ pada minggu depan.
Ahli Parlimen Padang RengasAzahari Hassan berkata, selain wakil rakyat terlibat, platform politik baharu itu bakal disertai ketua-ketua bahagian Bersatu yang juga sudah pun menyatakan sokongan terhadap Ahli Parlimen Larut tersebut.
“Maklumat yang saya dapat pun begitu juga (bahawa Hamzah akan mengumumkan rumah baharu) dalam masa terdekat, Insya-Allah pada minggu depan.
“Saya pun akan sertai ‘rumah baharu’ itu bersama ahli Parlimen lain,” katanya menurut Utusan.
Sebelum ini, Hamzah sewaktu Taklimat Hala Tuju dan Reset Politik pada 14 Februari lalu tidak menolak tiga kemungkinan hala tuju politiknya selepas dipecat serta-merta oleh Bersatu kerana melanggar perlembagaan parti.
Tiga hala tuju itu adalah mengambil alih Parti Berjasa Malaysia (Berjasa), kembali ke pangkuan Umno atau menyertai parti sekutu di dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu Pas.
Dalam pada itu, bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Yunus Nurdin berkata, Hamzah akan mengambil alih parti kecil bagi memperluaskan pengaruhnya menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“‘Rumah baharu’ yang dimaksudkan ialah sebuah parti yang sudah ada dan beliau akan mengambil alih parti itu.
“Beliau sudah memberi petanda mengenai parti tersebut, tetapi belum mendedahkan nama parti. Insya-Allah ia akan diumumkan dalam masa terdekat kerana tidak boleh lambat,” katanya.
Menurut beliau, Hamzah tidak berminat menyertai parti besar kerana strategi beliau adalah untuk menjadi ketua parti supaya keupayaan sebenarnya dapat ditonjolkan.
Yunus berkata, beliau turut menyokong langkah tersebut kerana ia membolehkan Hamzah menjadi pemimpin utama parti baharu dan menonjolkan kepemimpinan sebenar beliau.
Bekas Ketua Bersatu Bahagian Kepala Batas, Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq berkata, beliau akan kekal bersama Hamzah tidak kira di mana pemimpin itu berada.
“Jika betul ada parti baharu atau apa-apa sahaja, biar beliau yang umumkan. Sebab kita ini pengikut tegar dia, jadi dia yang sepatutnya umumkan perkara ini,” katanya menurut akhbar itu.
Beliau menjangkakan Bersatu akan terjejas selepas pengumuman Hamzah itu dibuat.
“Bersatu memang akan terjejas. Apabila parti sudah lari dari prinsip perjuangannya, pemimpin-pemimpin Bersatu yang sudah celik berkenaan perkara ini, sepatutnya meninggalkan parti dan datang bersama dengan Hamzah,” katanya.



