PUO teraju transformasi TVET mampan melalui kecemerlangan ESG & budaya Lean -Kaizen

Oleh Zihan Zari

IPOH – Politeknik Ungku Omar (PUO) mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui penganjuran Majlis Kecemerlangan Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) dan Pengurusan Lean, di Dewan Jubli Perak PUO, dekat sini baru-baru ini.

PUO dalam kenyataan berkata, Majlis Kecemerlangan ESG dan Pengurusan Lean bersama Malaysia Productivity Corporation (MPC) merupakan manifestasi komitmen PUO dalam menyahut Amanat Pendidikan Tinggi 2026 yang menekankan kecemerlangan operasi dan kelestarian global.

“Program yang dianjurkan dengan kerjasama strategik MPC ini bertujuan mengiktiraf warga kerja dan jabatan yang berjaya melaksanakan transformasi produktiviti melalui metodologi Lean-Kaizen serta menyepadukan prinsip ESG dalam pengurusan institusi.

“Ia diadakan sebagai inisiatif strategik untuk memperkukuh kefahaman dan pelaksanaan prinsip ESG serta transformasi Quality Environment (Q.E) 5.0 di kalangan warga PUO.

“Selain itu, menyerlahkan peranan MPC sebagai agensi utama memacu produktiviti dan daya saing negara melalui sokongan teknikal, strategik, panduan, data, penyelidikan, transformasi digital, serta amalan moden untuk pengurusan risiko dan kelestarian organisasi,”kata kenyataan itu.

Memacu Aspirasi Nation Builders

Dalam kenyataan yang sama, Pengarah PUO, Dr. Hjh. Salmi Che Meh menekankan bahawa pelaksanaan ESG di PUO adalah pendekatan yang berpaksikan manusia (humanity-centric), di mana kesejahteraan warga kerja dan tanggungjawab sosial menjadi keutamaan selari dengan Higher Education Blueprint.

“Kita bukan sekadar mengurus rutin, tetapi memimpin perubahan. Transformasi ke arah Quality Excellence 5.0 mencerminkan semangat purpose-driven, di mana setiap proses dan inisiatif mesti memberi nilai serta impak nyata kepada negara,”katanya.

Pencapaian Produktiviti dan Pengiktirafan

Antara sorotan utama majlis adalah penyampaian anugerah kepada individu dan kumpulan yang menunjukkan kecemerlangan dalam budaya produktiviti, termasuk kategori, Productivity Leader, Productivity Practitioner, dan Rising Talent.

Penglibatan aktif PUO dalam Konvensyen Lean-Kaizen sehingga kini membuktikan institusi ini tidak hanya melaksanakan teori, malah menjadi penanda aras dalam membina budaya kerja yang sentiasa mencari ruang penambahbaikan (continuous improvement).

Kerjasama Strategik Bersama MPC.

Sesi perkongsian ilmu dalam majlis ini telah disampaikan oleh Senior Productivity Specialist, Asian Productivity Organization (APO) Japan, MPC, Hj. Rosmi Abdullah.

Rosmi merupakan Productivity Champion dan Productivity Specialist yang diiktiraf oleh Kaizen Institute Japan, serta Senior Productivity Specialist bertauliah APO. Beliau yang juga bekas Pengarah MPC, mempunyai pengalaman luas selama 32 tahun dalam bidang produktiviti dan kualiti merangkumi sektor pembuatan, perkhidmatan serta agensi kerajaan.

Selain itu, beliau merupakan perunding dalam pelbagai inisiatif penambahbaikan berterusan seperti 5S, Kaizen, Lean Management, Total Quality Management dan sistem pengurusan kualiti.

Tambah kenyataan itu, sinergi bersama MPC telah memperkukuh ekosistem produktiviti di PUO melalui penggunaan data dan amalan terbaik industri.

“Kerjasama ini memastikan tadbir urus institusi kekal mampan dan relevan dengan kehendak industri masa kini, seterusnya melahirkan graduan yang bukan sahaja berkemahiran teknikal, malah memiliki jati diri sebagai pembina negara (nation builders).

“PUO bertekad untuk terus memacu agenda produktiviti nasional dan memastikan kelestarian pendidikan TVET kekal unggul di peringkat domestik mahupun antarabangsa, ”tambahnya lagi.

Untuk rekod, PUO merupakan politeknik pertama dan tertua di Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1969, komited dalam menyediakan pendidikan TVET berkualiti tinggi bagi melahirkan tenaga kerja mahir yang kompetitif dan berintegriti.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat