CYBERJAYA – Anwar Ibrahim menyeru seluruh warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar terus memperkukuh integriti, disiplin serta amanah dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan negara, khususnya sepanjang bulan Ramadan.
Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook, Perdana Menteri memaklumkan beliau bersama warga KDN pada hari pertama Ramadan dalam sebuah program Madrasah Ruhiyah yang bertujuan mengajak semua pihak bermuhasabah serta memperbaiki diri.
Menurut beliau, Ramadan merupakan waktu terbaik untuk memperkukuh nilai moral, disiplin dan tanggungjawab dalam perkhidmatan awam, khususnya bagi jentera keselamatan yang memikul amanah besar kepada rakyat dan negara.
Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan atas khidmat serta pengorbanan seluruh warga KDN dan agensi di bawahnya yang saban hari memastikan keamanan serta ketenteraman negara terus terpelihara.
Beliau berkata, pelbagai kejayaan telah dicapai kebelakangan ini, termasuk usaha mengekang ketirisan, memperkukuh kawalan sempadan serta membanteras jenayah dan penyeludupan yang berjaya menyelamatkan hasil negara bernilai besar.
“Pencapaian ini membuktikan kesungguhan jentera keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan, undang-undang serta kesejahteraan rakyat,” katanya.
Namun demikian, beliau menegaskan bahawa Ramadan juga mengingatkan supaya amanah tersebut dilaksanakan dengan lebih teliti, jujur dan berintegriti, tanpa berasa selesa dengan kejayaan sedia ada.
Perdana Menteri turut menekankan bahawa teguran harus diterima dengan lapang dada, manakala penambahbaikan perlu dilaksanakan secara berhemah, tersusun dan berterusan.
Beliau yakin semangat islah serta disiplin yang dibentuk sepanjang Ramadan akan membantu warga KDN meningkatkan prestasi, memperkukuh integriti dan melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab.
Menurutnya, usaha berterusan itu penting bagi memastikan Malaysia kekal aman, stabil serta dihormati di peringkat antarabangsa.



