Pangkat dan kedudukan akan hilang, pertahan akidah bukan menghina – Hadi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang memberikan peringatan kepada penganut Islam supaya menjaga dan mempertahankan akidah masing-masing, bukanlah menghina, khususnya pengamal undang-undang dan semua yang terlibat dengannya daripada kalangan para hakim dan peguam, termasuk Ahli Parlimen dan ADUN, bahkan raja-raja supaya berwawasan akhirat dengan bijaksana memandang ke akhirat sana, bukan memandang kepentingan dunia di sini sahaja.

Tegas beliau, ketika Allah Maha Berkuasa, semua manusia dihilangkan pangkat dan kedudukannya.

Bahkan kata Hadi, menunggu di dalam kubur di alam barzakh lebih lama tempohnya daripada alam dunia ini.

“Ketahuilah bahawa tugas dan jawatan mereka di dunia akan disoal di alam kubur serta dihisab pada hari Akhirat nanti, sama ada menepati perintah Allah ataupun tidak.

“Kita telah diperangkap oleh penjajah (bukan Islam) supaya terpengaruh dengan nasihat mereka yang sesat daripada petunjuk Allah. Sedangkan, kita diajar oleh Allah SWT supaya memohon pertolongan-Nya dalam setiap rakaat solat,” tegas Hadi memberi peringatan.

Menurut ahli Parlimen Marang itu lagi, kita telah dibekalkan oleh penjajah dengan Perlembagaan yang memiliki banyak bom jangka sebagaimana yang telah digubal oleh Suruhanjaya Reid.

Ujar beliau, Perlembagaan itu dibentuk oleh penjajah ketika memberikan kemerdekaan yang tidak sempurna, yang tersurat dengan perkara-perkara yang masih menjajah fikiran kita bagi menyesatkan kita daripada Islam.

“Sepatutnya, kita tidak membaca Perlembagaan yang disediakan itu sehingga terikat dan dikongkong dengan perkara yang tersurat sahaja.

“Gunakanlah kebijaksanaan untuk memahami perkara yang tersirat menjadi aqidah dan iman kita dengan mentafsirkan Perlembagaan atau menggunakan hak memindanya ke jalan yang betul mengikut petunjuk Allah secara istiqamah. Tidakkah sudah banyak perkara yang telah dipinda dalam perlembagaan tersebut?

Kita menerima Perlembagaan Persekutuan yang telah digubal oleh penjajah yang merancang kemerdekaan yang menipu umat Islam, dengan tujuan tidak mahu sekali-kali memberikan kuasa kepada Islam.

“Walaupun negara kita dikatakan sudah merdeka dan penjajah asing pula sudah pulang ke negara asal mereka, mereka meninggalkan warisan yang masih menjajah kita melalui Perlembagaan yang dicipta oleh Suruhanjaya Reid tanpa melibatkan ahli undang-undang kita seorang pun.
Suruhanjaya Reid dipengerusikan oleh Lord William Reid (Hakim Mahkamah Rayuan England) dan dianggotai oleh Sir Ivor Jennings, Sir William McKell (bekas Gabenor Jeneral Australia), Tuan B. S. Malik (Ketua Hakim Mahkamah Tinggi India), dan Tuan Abdul Hamid (Hakim Mahkamah Pakistan),” catatnya dalam Minda Presiden PAS pada Selasa.

Terlalu banyak bom jangka yang dipasang sehingga ia boleh meletup kata Hadi, yang bertujuan menghancurkan agama, bangsa, bahasa, dan tanah air.

Sepatutnya, kita menunaikan kewajipan merungkai dan merombak semula ikatan penjajah itu dengan pemikiran kita yang dibebaskan daripada “belenggu penjajah. Pada masa yang sama, menunaikan kewajipan dengan meletakkan Islam di tempat yang mulia, kerana kedudukannya daripada Allah Yang Maha Besar, tiada sekutu dan bandingan bagi-Nya.

“Islam adalah keutamaan. Tegakkan Islam, semua pasti akan selamat. Tegakkan yang lain tanpa Islam, semuanya tidak akan selamat.
Begitulah kedudukan Islam yang wajib diperjuangkan oleh penganutnya yang setia dan beristiqamah.

“Kita telah menyaksikan adanya hakim-hakim veteran terdahulu yang telah melakukan kebijaksanaan ini dan mengemukakan cadangan mereka.
Saya masih ingat bahawa Almarhum Prof. Ahmad Ibrahim, Tun Salleh Abas, Tan Sri Harun Hashim, Prof. Nik Rashid, dan lain-lain mencadangkan perkara tersebut dalam beberapa seminar yang diikut serta oleh mereka.

“Ada kalangan yang memberikan alasan bahawa kita telah dibenarkan melaksanakan hukum takzir yang menjadi sebahagian daripada hukum Islam. Benarkah begitu? soal Hadi.

Jelas beliau, hukum takzir ialah mata rantai yang tidak putus daripada hukum Islam, bukan hukum yang diambil semena-mena di tengah jalan. Hukum takzir ialah hukum Allah yang disertakan dengan hukum qisas dan hudud dalam kesalahan tertentu sahaja, dengan syarat-syarat yang ketat dan hukuman yang keras.

“Apabila tidak memenuhi syarat-syarat tersebut, maka barulah dibawa kepada hukum takzir dalam perkara yang luas lapangannya dan banyak pilihannya dengan syarat, rukun, dan adab Islam yang menjadi roh kepada syariat Islam yang tidak boleh disamakan dengan undang-undang sivil. Maka, undang-undang sivil gagal mencegah kemungkaran, walaupun hukumannya lebih keras daripada qisas dan hudud.

“Semua hukum syariat ialah berkaitan dengan maqasid al-syari‘ah bagi memelihara rukun hidup manusia mengikut ketetapan Allah, iaitu menjaga agama, akal, nyawa, maruah, keturunan, dan harta. Perkara ini tidak dipedulikan secara sistematik dalam undang-undang sivil.

“Mencipta undang-undang bagi menggantikan undang-undang Allah ialah suatu bentuk kesesatan yang besar.

“Maka, Islam bersikap terbuka, lalu beberapa siri dialog diadakan antara ilmuwan Islam dengan Barat bagi mengambil tanggungjawab bersama terhadap masalah politik, ekonomi, dan sosial yang lebih parah di negara Barat kini, sehingga kadar jenayah meningkat setiap minit, bukan lagi tahun. Berlaku keruntuhan jati diri manusia dan kerosakan institusi keluarga dan masyarakat, sehingga ada yang lebih parah daripada binatang,” katanya.

“Kita telah menerima tempias negatif daripada Barat yang dapat dilihat dalam beberapa gejala yang berlaku, iaitu terdapat beberapa jumlah orang Melayu Islam yang membunuh diri, bukan sahaja terlibat dalam jenayah berat dan ringan. Demikian juga, kenyataan pemimpin yang bersikap liberalisme serta sudah ada kenyataan pemimpin yang bersikap terbuka terhadap lesbian, gay, dwiseksual (bisexual), dan transjantina (transgender) (LGBT) dan rakan-rakannya,” ujarnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat