KEMAMAN — Armada Bersatu Kemaman menyeru pihak berkuasa untuk menyiasat insiden memukul lelaki orang kurang upaya (OKU) beramai-ramai di Pasar Tani, Padang Astaka Chukai serta mengambil tindakan tegas terhadap pelaku di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Exco Armada Bersatu yang juga Ketua Pemuda Bersatu Kemaman, Aziman Hadi Nazri berkata, tindakan tidak berperikemanusiaan ini melanggar nilai kemanusiaan, undang-undang, dan ajaran agama.
“Armada mengecam keras insiden di Pasar Tani Chukai, di mana seorang lelaki OKU dipukul setelah secara tidak sengaja melanggar sebuah gerai.
“Mangsa yang turut dikategorikan sebagai pesakit mental, seharusnya dilindungi, bukannya dianiaya.
“Kami menyeru pihak berkuasa agar menyiasat insiden ini secara telus dan mengambil tindakan tegas terhadap pelaku di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” jelasnya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, hukuman setimpal perlu dikenakan sebagai pengajaran kepada masyarakat agar tidak bertindak melulu dan mengikut emosi.
“Armada Bersatu Kemaman menyeru pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap individu-individu yang terlibat.
“Tindakan undang-undang yang tegas bukan sahaja untuk memberi keadilan kepada mangsa tetapi juga sebagai pengajaran kepada masyarakat agar tidak bertindak melulu dan mengikut emosi,” katanya.
Tambahnya insiden seperti ini mencerminkan keperluan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan melindungi golongan yang memerlukan perhatian dan sokongan.
“Sebagai masyarakat yang bertamadun kita perlu mengutamakan belas kasihan dan empati, khususnya terhadap golongan OKU.
“Keadilan mesti ditegakkan, dan mangsa layak mendapat pembelaan sewajarnya.
“Kami menggesa masyarakat untuk menjunjung nilai kemanusiaan dan memastikan kejadian seperti ini tidak berulang lagi,” katanya.
Terdahulu, mangsa seorang OKU mental berusia 47 telah dipukul oleh beberapa individu.
Berikutan itu, mangsa mengalami kecederaan dipercayai akibat dipukul dan disepak oleh beberapa individu dipercayai peniaga dan pembeli di pasar tani berkenaan.
Mangsa dipukul dipercayai selepas motosikal ditunggannya terlanggar salah sebuah gerai jualan menyebabkan makanan yang dijual terjatuh dan tumpah.