KUALA LUMPUR – Malaysia menggesa penubuhan Pasukan Petugas Jenayah Siber Asean mirip Interpol untuk memudahkan pertukaran maklumat masa nyata dan kerjasama serantau dalam menangani ancaman digital secara berkesan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengembangan pesat ekonomi digital memerlukan rangka kerja keselamatan lebih dinamik dan beliau memberi amaran penjenayah siber kini memanfaatkan kecerdasan buatan (AI), automasi dan web gelap untuk melancarkan serangan lebih canggih.
“Walaupun perbincangan adalah penting, pelaksanaan adalah sesuatu yang mesti dilakukan. Saya menggesa semua pihak berkepentingan – kerajaan, agensi penguat kuasa undang-undang dan pemimpin industri untuk mengambil tindakan konkrit dalam beberapa bidang utama.
“Pertama, kita mesti melaksanakan pemantauan polis berasaskan AI dan pengawasan bandar masa nyata untuk mengesan dan mencegah ancaman keselamatan secara proaktif,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak dan Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia 2025 di Putrajaya pada Isnin.
Zahid berkata, penubuhan sistem pengesahan identiti berasaskan blok rantai di peringkat nasional untuk melindungi transaksi dalam talian dan mengurangkan penipuan identiti.
Beliau menggesa pengukuhan kerjasama antara sektor awam dan swasta serta memupuk kerjasama antara kerajaan, syarikat korporat dan firma teknologi bagi mempertingkatkan keselamatan siber dan keupayaan perkongsian maklumat perisikan.
Beliau menegaskan sebagai pengerusi Asean tahun ini, Malaysia tetap komited membina ekosistem keselamatan yang selamat, berdaya tahan dan bekerjasama bukan hanya untuk negara, tetapi juga rantau Asean serta lebih luas lagi.
Zahid turut menekankan sumbangan Malaysia kepada rangka kerja keselamatan serantau, termasuk peranan aktif negara dalam Aseanapol dan Interpol, yang menurutnya memainkan peranan penting memutuskan rangkaian sindiket jenayah transnasional.
Dalam mesyuarat menteri Asean mengenai jenayah transnasional (AMMTC), katanya, Malaysia menegaskan semula komitmennya melaksanakan Pelan Kerja SOMTC + China untuk memperkukuh rangkaian perkongsian maklumat perisikan dan menyelaras respons terhadap ancaman siber serta aktiviti haram lain.
“Kerjasama keselamatan dengan negara jiran Asean kita sangat penting dan kita mesti memastikan rangkaian perisikan kita berkembang selari dengan ancaman keselamatan semakin meningkat,” lapor Bernama.
Sepanjang tahun lalu, menurutnya, Malaysia merekodkan kerugian kewangan lebih RM1.22 bilion akibat jenayah siber bersama berjuta-juta ancaman siber dikesan, justeru terdapat keperluan mendesak untuk memperkukuh ketahanan siber.
Sementara itu, beliau menggalakkan pemain global mempertimbangkan penggunaan teknologi kepolisan moden dan peralatan canggih, menyeimbangkan langkah keselamatan kukuh dengan menghormati kebebasan sivil penting bagi mengekalkan rangka kerja keselamatan global yang adil dan saksama.
Turut hadir, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.
Sidang Kemuncak AISSE25 berperanan sebagai pendahulu kepada Sidang Kemuncak Asean-GCC yang sangat dinanti-nantikan, dijadual berlangsung Mei nanti, menonjolkan peranan penting Malaysia dalam merapatkan hubungan rantau dan memperkukuh perkongsian demi kemakmuran bersama.