Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA – Datuk Manoharan Periasamy telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) berkuat kuasa mulai 8 Disember 2025.
Tourism Malaysia dalam kenyataan memaklumkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing telah mengumumkan pelantikan Manoharan selaras dengan peruntukan Seksyen 5(1)(a), Akta Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia 1992 (Akta 481).
Manoharan yang sebelum ini merupakan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, dilantik ke jawatan tersebut menggantikan Datuk Dr. Yasmin Mahmood dan mempunyai pengalaman luas dalam perkhidmatan awam dan sektor pelancongan selama lebih 30 tahun.
“Beliau pernah memegang beberapa jawatan penting termasuk Pengarah Kanan Bahagian Promosi Antarabangsa (Asia & Afrika), Pengarah Kanan Bahagian Pengiklanan & Digital, Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej serta Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat.
“Beliau turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh kehadiran Malaysia di pasaran Asia Selatan apabila diberi tanggungjawab mengetuai operasi
promosi pelancongan negara sebagai Pengarah Tourism Malaysia Mumbai dan Pengarah Tourism Malaysia New Delhi di India dari tahun 2000 hingga awal 2016, ”kata kenyataan itu.
Mengulas mengenai pelantikannya itu beliau menyatakan komitmennya untuk memikul tanggungjawab tersebut dengan penuh dedikasi.
“Saya amat menghargai kepercayaan yang diberikan melalui pelantikan ini. Amanah yang dipertanggungjawabkan adalah besar, khususnya dalam memastikan keberhasilan dan pelaksanaan Kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026).
“Saya beriltizam untuk bekerjasama rapat dengan pengurusan serta seluruh warga Tourism Malaysia bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama,”katanya lagi.
“Pelantikan Manoharan sebagai Pengerusi Tourism Malaysia dijangka memperkukuh hala tuju strategik Tourism Malaysia, khususnya dalam usaha memantapkan penyelarasan program dan aktiviti promosi pelancongan negara menjelang pelaksanaan Kempen VM2026, ”tambah kenyataan itu. – SUARA.TV



