KUALA LUMPUR — Sebanyak 52 inisiatif jangka pendek, sederhana dan panjang yang telah dan akan dilaksanakan dalam mengatasi kesesakan lalu lintas yang berlaku di Tambak Johor.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia termasuk Pengurusan Sumber Manusia, naik taraf ‘Automated Check Point and Border System’, melaksanakan kajian kebolehlaksanaan, Pengurusan Pelan Komunikasi serta pengurusan dan penyelenggaraan infrastruktur dan kemudahan.
“Inisiatif itu merangkumi aspek naik taraf infrastruktur dan kemudahan di bangunan Sultan Iskandar dan kompleks Sultan Abu Bakar.
“Ada 52 inisiatif jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang yang telah pun di laksanakan, yang sedang dan yang akan dilaksanakan,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Segamat, R. Yuneswaran di Dewan Rakyat hari ini.
Tambahnya, 52 inisiatif ialah hasil daripada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Kesesakan Tambak Johor yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof sebelum ini.
Selain itu katanya kerajaan juga sedang memuktamadkan perolehan penggunaan kod QR bagi dua mod pengangkutan iaitu untuk penumpang bas dan penunggang motosikal.
“Untuk tujuan itu, kerajaan telah memperuntukkan bajet sebanyak RM20 juta dan akan memuktamadkan pelantikan vendor bagi melaksanakan inisiatif berkenaan.
“Bagi 2 mod pengangkutan yang kita buat ‘Proof of Concept’ sebelum ini iaitu penumpang bas dan juga penunggang motosikal menggunakan kod QR, tak perlu lagi stem pasport.
“Ianya berlangsung antara 1 Jun hingga 30 November ini. Jadi pada tahun kewangan ini juga kita akan muktamadkan pelantikan vendor untuk maksud perolehan.
“Penggunaan Kod QR itu juga akan diperluaskan kepada semua jenis pengangkutan mengikut fasa,” katanya.