Dahulukan Usul Undi Tak Percaya, Tangguh Sementara Urusan Kerajaan – Maszlee

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik sekali lagi mendesak Dewan Rakyat menangguhkan sementara urusan kerajaan dan memberi laluan supaya Usul Undi Tidak Percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dibawa Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad dibaca dan diputuskan terlebih dahulu.

Bekas Menteri Pendidikan itu menjelaskan, usul ini pada asasnya bukanlah untuk menambah rumit kemelut politik sedia ada di saat rakyat sedang berdepan bencana.

Namun menurutnya, usul ini hakikatnya tampil untuk menamatkannya.

“Justeru saya, sebagai Ahli Parlimen telah menghantar satu Usul di bawah Peraturan 90 (2), iaitu suatu usul untuk menggantung sementara kuat kuasa Peraturan 15 (1) dan beberapa peraturan-peraturan mesyuarat lain yang berkaitan, supaya PM tidak lagi boleh menghalang amarah rakyat dengan berselindung di sebalik teknikal undang-undang.

“Bererti melalui Usul ini saya telah meminta agar Dewan Rakyat membuat keputusan agar urusan Kerajaan ditangguhkan sementara dan Usul undi tidak percaya yang dibawa Ahli Parlimen Langkawi dibaca dan diputuskan terlebih dahulu,” kata Maszlee.

Tambahnya, sekiranya ahli-ahli Dewan Rakyat melihat penting agar usul undi tidak percaya didahulukan, maka ahli-ahli Dewan boleh menyokong usul ini supaya usul undi tidak percaya boleh didengar dan diputuskan.

“Kemelut dan krisis politik yang kita semua hadapi hari ini boleh ditamatkan. Dan semua ini boleh diselesaikan di Dewan Rakyat. Inilah masanya untuk semua menunjukkan keikhlasan masing-masing, ketika rakyat berdepan bencana Covid-19 dan berada dalam kesusahan.

“Dalam konteks ini lah, Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah terkhilaf apabila menyatakan bahawa satu-satunya cara untuk usul tidak percaya boleh mendapat laluan untuk diputuskan oleh Dewan Rakyat ialah dengan berunding bersama pihak Kerajaan. Ini bukanlah hakikat sebenarnya kerana masih ada cara dan lunas lain yang dibenarkan oleh Peraturan Mesyuarat itu sendiri,” katanya.

Menurut beliau, Dewan Rakyat akan disibukkan dengan urusan kerajaan, malah seperti biasa, Perdana Menteri akan menggunakan senjata ampuhnya iaitu Peraturan Mesyuarat 15 (1) yang menyatakan bahawa urusan Kerajaan (apa-apa urusan yang dikehendaki oleh kerajaan) hendaklah didahulukan daripada urusan-urusan lain.

“Ini taktik politik dalam sistem demokrasi berperlembagaan apatah lagi apabila Perdana Menteri tahu majoriti Ahli Parlimen tidak menyokongnya di Dewan Rakyat.

“Namun pada masa yang sama, usul ini penting untuk memastikan keabsahan sokongan terhadap Perdana Menteri dan sekali gus menentukan kestabilan politik negara,” uajar Maszlee.

Beliau mempersoalkan “Apakah di sana ada cara lain untuk kita, ahli-ahli Parlimen dengan sokongan jitu rakyat Malaysia, memastikan usul ketidakpercayaan kita terhadap Perdana Menteri didengar dan diterima di Dewan Rakyat?

“Jawapannya, ada. Demokrasi bukan semestinya aparatus sang penguasa sahaja, tetapi juga ruang untuk rakyat menyuarakan pandangan mereka.

“Dan pandangan itu harus didengar, dibincang, serta dibahas. Itulah fungsi utama Dewan Rakyat. Dewan Rakyat tidak boleh digunakan untuk mencari alasan dan peraturan untuk menyebelahi Kerajaan sahaja,” tegasnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat