KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen (JIM) diarahkan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya dalam siasatan kes kemalangan yang melibatkan kematian tiga beranak termasuk seorang kanak-kanak perempuan awal pagi tadi.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata dalam satu kenyataan hari ini, kerjasama harus diberikan oleh JIM untuk memastikan segala fakta berkaitan kemalangan itu dikenal pasti dan diperjelaskan.
Beliau amat dukacita dengan kejadian berkenaan dan menyampaikan salam takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa.
“Sekiranya siasatan mendapati wujud kecuaian, salah laku atau pelanggaran undang-undang, tindakan tegas hendaklah diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab,” katanya.
Saifuddin turut mendoakan agar keluarga mangsa diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi saat sukar susulan kejadian itu.
Dalam kejadian awal pagi tadi, tiga beranak termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun maut selepas dirempuh sebuah lori Jabatan Imigresen Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JIM KL) di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, di ibu negara.
Dalam kejadian jam 1 pagi itu, mangsa yang meninggal dunia di lokasi melibatkan seorang lelaki berusia 53 tahun merupakan bapa serta dua anak perempuannya masing-masing berusia 25 tahun dan 12 tahun.
Dalam pada itu, dalam satu kenyataan media berbeza JIM mengesahkan sebuah kenderaan milik jabatan itu telah terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Sultan Ismail pada awal pagi tadi.
“JIM memberi kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca dan keadaan sebenar kejadian.
“Jabatan menghormati proses siasatan yang sedang berlangsung dan tidak akan membuat sebarang kesimpulan yang boleh mendahului hasil siasatan pihak berkuasa,” katanya.
JIM memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk membantu siasatan yang sedang dijalankan.
“JIM juga akan menjalankan siasatan dalaman terhadap aspek pematuhan prosedur operasi standard dan keselamatan berkaitan pengoperasian kenderaan jabatan bagi memastikan perkara ini diteliti secara menyeluruh,” menurut kenyataan itu.


