Nafas baharu penggiat budaya

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Terputus mata pencarian sejak penularan pandemik COVID-19, penggiat seni yang menjadi antara kumpulan kreatif yang terkesan dengan penutupan sektor ekonomi itu, bergelut meneruskan survival.

Tidak hairanlah, ada pemuzik terpaksa melepaskan instrumen muzik kesayangan dan melakukan pekerjaan lain bagi menampung keperluan diri dan keluarga.

Kepayahan itu dirasakan ahli muzik, Darren Teh Qin Loong yang mengaku kehidupan amat mencabar sejak lebih setahun lalu. Apatah lagi, Qin Loong bergantung penuh kepada pendapatan dalam bidang muzik.

“Saya terpaksa melepaskan barangan peribadi demi kelangsungan hidup. Tiga lagi rakan sekumpulan mungkin tidak merasai getir saya kerana mereka ada kerjaya tetap,” kata ahli kumpulan pop punk, An Honest Mistake itu.

Namun, kepayahan Qin Loong berakhir apabila pemuzik itu menjadi antara penerima manfaat Inisiatif Pemulihan Agensi Pembangunan Ekonomi Budaya Malaysia (CENDANA) di bawah Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA), baru-baru ini.

Dengan dana disalurkan CENDANA, Qin Loong dapat menerbitkan lagu tanpa perlu memohon bantuan kewangan pihak lain.

Biarpun kehidupan mencabar pada era pandemik, Qin Loong beroleh ilmu baharu apabila belajar menerbitkan lagu tanpa perlu menyerahkan tugas itu kepada studio rakaman.

“Selepas lebih setahun tidak dapat membuat persembahan, saya belajar menggunakan komputer dan cuba menguasai teknologi digital.

“Disebabkan teknologi digital mengambil alih banyak perkara, saya perlu memanfaatkan platform itu demi kebaikan diri… Prosesnya tidak semudah disangka.

“Bagaimanapun, dalam keadaan sekarang, itu sahaja cara paling relevan. Sekurang-kurangnya, saya bernasib baik masih berpeluang untuk mencuba sesuatu yang baharu,” katanya.

Qin Loong berkata, ramai rakan seni terpaksa melakukan kerja lain demi sesuap nasi sejak penutupan sektor kreatif. “Saya dapat tahu ada yang terpaksa menggantung alat muzik dan beralih ke bidang perniagaan seperti menjual rendang untuk menyara hidup.

“Ada juga yang terpaksa menjual alat muzik agar dapat bertahan. Bukan ahli muzik sahaja, sebaliknya semua individu yang terbabit dalam bidang seni termasuk pemilik kelab malam dan deejay terkesan,” katanya.

Qin Loong berkongsi kisahnya pada sesi dialog bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah pada majlis penyerahan bantuan Inisiatif Pemulihan CENDANA di bawah PRISMA secara virtual, baru-baru ini.

Terbukti, peruntukan RM7 juta yang disalurkan CENDANA bagi membantu penggiat seni budaya meringankan beban mereka dalam mengharungi impak penularan COVID-19.

Agihan dana itu melegakan penggiat seni persembahan, visual, muzik bebas dan kraf di seluruh negara.

Melalui inisiatif itu, peruntukan antara RM3,500 hingga RM13,000 diagihkan kepada penerima mengikut keperluan projek yang diusahakan.

Sementara itu, usahawan kraf dari Keningau, Sabah, Emily Jeneble, memilih strategi pemasaran atas talian berikutan kedai menjual hasil kraftangan tidak dapat dibuka sejak lebih setahun lalu.

Emily mengambil inisiatif itu bagi membantu pengusaha kraftangan di kampung menjana pendapatan pada era pandemik.

“Sebelum ini, hasil kraftangan penduduk kampung dijual di lapangan terbang, kedai cenderamata dan pusat kraf. Melaluinya, mereka beroleh pendapatan bulanan.

“Namun, sejak setahun lalu, semua kedai ditutup menyebabkan pengusaha kraftangan sedih dan buntu memikirkan nasib diri.

“Tetapi kami yakin ada cara selain bergantung kepada penjualan produk kraftangan secara fizikal. Biarpun kedai ditutup, ia bukan alasan untuk tidak mahu maju ke hadapan,” katanya.

Menggunakan kemahiran mengendalikan komputer dan kemudahan pautan jalur lebar, Emily membuka akaun laman sosial bagi mempromosikan hasil kraftangan penduduk kampung.

“Selain Facebook, saya menjual hasil kraftangan melalui kedai atas talian.

“Biarpun pendapatan diperoleh tidak seberapa berbanding jualan melalui kedai, sekurang-kurangnya penduduk kampung masih dapat menjana pendapatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Segaris Art Centre, Mohd Nizam Rahmat, berkata pandemik COVID-19 menyebabkan artis seni visual tidak dapat menganjurkan pameran dan menyertai festival seni di luar negara.

Mohd Nizam berkata, pusat kesenian itu pernah menganjurkan tiga pameran atas talian, namun, impaknya tidak sama seperti acara fizikal.

“Sejak pandemik, banyak acara terpaksa ditangguhkan. Kami sanggup mengeluarkan modal untuk menyertai pameran seni di Jakarta, Indonesia, tahun lalu.

“Namun, hasrat itu dibatalkan berikutan penularan COVID-19. Kesan wabak ini menyebabkan industri seni visual sunyi.

“Pencinta seni lebih suka datang ke galeri melihat lukisan dihasilkan berbanding mengamatinya secara virtual,” katanya.

Mohd Nizam berkata, jika pameran seni visual dibenarkan, penggiatnya tidak sabar beraksi kembali. Namun, apakan daya, segala-galanya terbatas disebabkan pandemik COVID-19.

“Hendak mengharapkan jualan hasil seni secara visual bukan mudah. Ada yang berjaya menjual produk mereka, tidak kurang juga yang gagal,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat