Isu Pati, Merupakan Ibu Kepada Masalah Di Sabah

- Advertisement -

Cyberjaya – Selain isu setempat, Sabah ketika ini sedang bergelut dengan isu pendatang asing tanpa izin (Pati) yang memerlukan perhatian segera.

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Lee Kuok Tiung berkata kerajaan negeri yang bakal dipilih selepas pilihan raya negeri nanti seharusnya menjadikan isu ini sebagai keutamaan.

“(Isu Pati ialah) ibu kepada macam-macam masalah di Sabah. Lambakan pati di Sabah saban hari menimbulkan kegusaran di masyarakat.

“Mereka merupakan punca kepada masalah kanak-kanak tanpa warganegara, masalah setinggan, masalah pencemaran dan penyakit rentas sempadan seperti polio yang tiba-tiba muncul balik baru-baru ini,” katanya.

Sementara itu seorang lagi penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir berkata, isu kewarganegaraan juga perlu diberi perhatian dalam PRN kali ini.

Katanya, isu tersebut merupakan duri dalam daging di Sabah dan boleh menentukan sama ada seseorang calon itu diterima atau ditolak pengundi.

“Mana-mana pihak yang dilihat dapat menjaga kedaulatan Sabah akan mendapat bonus, manakala yang dilihat cuba menghakis kedaulatan negeri dengan melonggarkan hak kerakyatan akan menerima tempias.

“Ini telah kita lihat dalam pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini,” katanya.

Jeniri merujuk kepada pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) yang menjadi antara punca kekalahan calon Parti Warisan Sabah (Warisan) ketika pilihan raya kecil (PRK) Kimanis pada Januari lalu.

PSS sepatutnya dilaksanakan bermula 1 Jun lalu, bagi menggantikan dokumen warga asing yang lain di Sabah, iaitu IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci yang masing-masing dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen, Jabatan Ketua Menteri (JKM) dan MKN.

IMM13 ialah dokumen buat warga Filipina yang melarikan diri ke Sabah pada 1970-an akibat pergolakan di negara mereka, manakala Kad Burung-Burung pula untuk pendatang ekonomi pada 1980-an. Sijil Banci dikeluarkan buat pendatang lain pada 1990-an.

Bagaimanapun, pelaksanaan PSS dibatalkan selepas kekalahan Warisan dalam PRK Kimanis.

Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin pada Julai lalu, turut menggesa kerajaan agar segera menubuhkan jawatankuasa peringkat tertinggi antara kerajaan persekutuan dan negeri Sabah pagi mengatasi masalah Pati.

Katanya, sebelum ini pernah dicadangkan pemberian pas sementara dan lain-lain, tetapi ia perlu diselesaikan segera.

“Walaupun kita faham, bahawa kerajaan Filipina juga seharusnya bertanggungjawab, kita meminta mereka supaya mewujudkan kedutaan di Kota Kinabalu, tetapi sampai hari ini masih enggan mewujudkan kedutaan atau konsular di Sabah.

“Inilah masalah yang kita hadapi, berpuluh-puluh tahunlah itu ini tidak akan selesai,” katanya ketika sesi perbahasan Titah Diraja, di Dewan Rakyat.

Beliau turut mencadangkan kerajaan mewujudkan strategi gelombang biru menyelesaikan beberapa perkara termasuk membanci penduduk, kemiskinan, pembangunan dan keperluan lain di semua parlimen dan daerah.

Ini kerana katanya, sebelum ini kerajaan tidak mempunyai pangkalan data untuk melihat pembangunan di sesebuah daerah supaya kerajaan Perikatan Nasional dilihat lebih baik daripada yang terdahulu.

“Buat ‘blue ocean strategy’, satu kali turun ke kampung, bandar buat bancian secara serentak dan kita tahu berapa sebenarnya kependudukan Malaysia ini, berapa PATI, berapa pembangunan dan sebagainya,” katanya.

Berdasarkan data pada laman seawang Jabatan Perangkaan, setakat suku kedua 2020, daripada 3.91 juta penduduk Sabah, 28 peratus dikategorikan sebagai “bukan warganegara Malaysia”.

Ia adalah angka yang jauh mengatasi kadar bukan warganegara di semua negeri lain.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat