Oleh Helme Hanafi
Saya sudah membaca pelbagai analisis tentang siapa bakal membentuk kerajaan Negeri, siapa rugi dan siapa untung. Tetapi bagi saya, ada tiga perkara yang lebih menarik untuk diperhatikan kerana ia mungkin memberi gambaran awal tentang landskap politik menjelang PRU akan datang.
Yang pertama ialah sejauh mana berlakunya pemindahan undi (vote transferability) antara BN kepada PN.
Di Johor baru-baru ini, ramai pemerhati melihat pemindahan undi penyokong PN kepada BN berlaku dengan ketara. BN memperolehi semua kolam undi PN terutama di 23 kerusi yang tidak ditandingi PN hingga membentuk kemenangan besar kepada BN.
Persoalannya, adakah persefahaman di kotak undi ini akan berulang dan apakah berlaku timbal balik undi antara BN dan PN di Negeri Sembilan?
Seorang rakan yang mengikuti politik secara dekat memberitahu saya bahawa beliau hairan dengan PH tidak menunjukkan usaha yang serius untuk menembusi kelompok pengundi PN di Johor. Mungkin mereka melihat kelompok itu sudah terlalu sukar ditembusi, atau mungkin strategi mereka memang berbeza. Itu satu persoalan yang menarik untuk difikirkan.
Di Negeri Sembilan, persefahaman BN-PN akan diuji buat pertama kali di peti undi. Soalnya bukan sekadar sama ada penyokong menerima kerjasama itu, tetapi berapa besar kadar pemindahan undi yang benar-benar berlaku dan di kawasan mana fenomena itu paling jelas.
Contohnya di Bagan Pinang, adakah penyokong BN akan mengundi calon PN? Begitu juga di Labu, mampukah penyokong PN memindahkan undi kepada calon BN walaupun penyandang kali ini bertanding menggunakan logo BERSATU?
Jika kadar pemindahan undi melebihi 80 peratus, ia memberi isyarat bahawa penyatuan undi Melayu semakin menjadi realiti. Jika sebaliknya, ia menunjukkan sentimen di peringkat akar umbi masih belum benar-benar selari dengan persefahaman di peringkat kepimpinan.
Perkara kedua yang tidak kurang penting ialah adakah BERSATU benar-benar mempunyai “undi teras” sendiri.
Pada PRU 2018, BERSATU menang sebagai sebahagian daripada PH. Pada PRU 2022 pula, ia bertanding di bawah PN. Kali ini, parti itu menggunakan identitinya sendiri.
Inilah ujian paling jujur terhadap kekuatan jenama politik BERSATU. Adakah pengundi memilih kerana simbol parti itu sendiri, atau kerana kekuatan gabungan yang diwakilinya sebelum ini?
Jika sokongannya kekal kukuh, bermakna BERSATU sudah berjaya membina identiti politik yang berdiri atas kaki sendiri. Jika tidak, ia memberi petunjuk bahawa kekuatan parti itu masih banyak bergantung kepada jenama gabungan yang lebih besar.
Akhir sekali ialah kedudukan sebenar Amanah dalam persaingan mendapatkan undi Melayu.
Lenggeng mungkin menjadi salah satu kerusi yang paling menarik untuk diperhatikan. Di kawasan yang majoriti pengundinya Melayu, pertandingan antara UMNO mewakili BN dan Amanah mewakili PH boleh menjadi ukuran yang baik terhadap penerimaan pengundi Melayu terhadap Amanah.
Kerusi ini pernah menjadi kubu BN. Maka, cabaran Amanah bukan sekadar untuk menang, tetapi membuktikan bahawa ia masih mempunyai pengaruh dalam kalangan pengundi Melayu ketika persaingan kini semakin tertumpu kepada dua blok utama, iaitu BN dan PN.
Keputusan di kerusi seperti ini akan membantu menjawab satu persoalan yang lebih besar: adakah Amanah masih mampu berdiri sebagai parti Melayu progresif yang mempunyai sokongan tersendiri, atau kekuatannya semakin banyak bergantung kepada undi bukan Melayu?
Akhirnya, PRN Negeri Sembilan bukan sekadar tentang bilangan kerusi yang dimenangi. Ia adalah makmal politik untuk melihat arah aliran pengundi, kekuatan jenama parti dan keberkesanan kerjasama politik. Ingatlah perubahan besar dalam politik tidak bermula dengan pertukaran kerajaan, tetapi dengan perubahan tingkah laku pengundi yang hanya dapat dikesan apabila kita melihat lebih jauh daripada sekadar angka kemenangan.


