Pelukan Terakhir Zalina Bagaikan Beri Bayangan Kesedihan – Ras Adiba

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Personaliti televisyen (TV), Senator Datuk Ras Adiba Radzi, 54, dapat merasai kesedihan dilalui sahabat baiknya, Zalina Azman ketika pertemuan terakhir, dua tahun lalu sebelum pandemik COVID-19 memuncak.

Malah, pada pertemuan itu, Ras Adiba dapat merasai pelukan terakhir Zalina bagaikan memberikan bayangan kesedihan yang dilalui.

“Masa itu, saya dapat merasai kesedihannya ketika kami berpelukan. Cuma, mengenali Zally (Zalina), dia cukup menjaga privasi, jadi kami ada batasan.

“Zally memaklumkan sudah berpisah dengan bekas suami. Malah, dia juga memberitahu mahu berpindah ke Shah Alam, Selangor iaitu kediaman didiaminya sebelum menghilangkan diri.

“Malah, dia mengajak saya ke rumahnya. Saya perhatikan berat badannya amat menyusut seperti gambar yang saya kongsi dalam laman Instagram (IG).

“Selepas itu, kami hanya berhubung menerusi telefon bimbit, tidak lagi bertemu,” katanya ketika dihubungi BH Online.

Ras Adiba berkata, perubahan fizikal bekas pengacara yang begitu sinonim dengan program Money Matters itu mengundang pertanyaan ramai mengenai masalah yang dilalui.

“Namun, saya fikir soal perubahan bentuk badan sangat subjektif. Pada usia tertentu, ada antara kita yang akan jadi terlampau kurus atau tembam.

“Cuma, saya tidak mahu bertanyakan lanjut kenapa semakin kurus pada pertemuan itu. Saya menghormati privasi Zally.

“Bagi saya, kita semua tidak sempurna dalam kehidupan ini. Setiap kita pasti ada cerita yang tersendiri.

“Mungkin juga dia banyak memendam rasa atau sebagainya. Tetapi, sebagai teman, kami akan sentiasa menyokong antara satu sama lain. Kami akan berada di sisi ketika memerlukan,” katanya.

Ras Adiba turut memaklumkan, dia dan suami, Mohamed Azam Ali akan mencari Zalina sekitar Shah Alam, malam ini.

“Suami meminta bantuan teman-teman termasuk geng pacuan empat roda dan otai TV3 untuk mencarinya.

“Saya pun akan turun padang turut serta selepas urusan kerja selesai,” katanya.

Semalam, BH Online melaporkan polis sedang giat mencari bekas personaliti TV3, Zalina atau nama sebenarnya, Zalina Shaharah Azman yang dilaporkan hilang sejak November, tahun lalu.

Ia susulan polis menerima laporan anak lelaki Zalina, Mikhael Norman, 33, berhubung kehilangan ibunya pada 29 November tahun lalu.

Zalina dilaporkan hilang selepas Mikhael gagal menghubunginya sejak 24 November 2021 bagi memaklumkan bapanya dimasukkan ke hospital. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat