KUALA LUMPUR – Doktrin Keselamatan Menyeluruh atau Comprehensive Security (Comsec) diperkenalkan supaya Malaysia boleh mendepani cabaran keselamatan negara masa kini dan akan datang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia sejajar
dengan dinamika dan evolusi pengurusan keselamatan negara.

“MKN telah memperkenalkan doktrin keselamatan supaya Malaysia boleh mendepani cabaran pengurusan keselamatan negara masa kini dan akan datang.

“Doktrin Keselamatan Menyeluruh ini membolehkan tanggungjawab memelihara keselamatan negara dipikul bersama-sama seluruh jentera kerajaan dan segenap lapisan masyarakat secara proaktif,” kata Perdana Menteri di Putrajaya pada Selasa.

Menurut beliau, cabaran pengurusan keselamatan negara turut merangkumi aspek kehidupan seharian.

“Contohnya, sekuriti makanan memberi impak terhadap keselamatan negara, sekiranya ia tidak diurus dengan baik.

“Isu sekuriti makanan tidak boleh dilihat dari sudut pertanian, penternakan, dan bekalan makanan semata- mata kerana ia turut berkait rapat dengan situasi ketidakstabilan yang berlaku di peringkat antarabangsa.

“Konflik Rusia-Ukraine, serta perubahan iklim yang ekstrem adalah contoh melibatkan kesan rantaian global, yang menyebabkan seluruh Keluarga Malaysia turut terkesan,” kata Ismail Sabri.

Jelas beliau, jika tiada persediaan awal dibuat, negara pasti berdepan risiko yang akhirnya menjejaskan kestabilan sosial dan ekonomi, dan sekali gus mengakibatkan implikasi keselamatan yang serius.

“ Tonggak kepada pelaksanaan strategi keselamatan menyeluruh adalah amanah yang perlu dijunjung oleh seluruh Keluarga Malaysia.

“Saya menyeru kepada seluruh jentera Kerajaan, khususnya perkhidmatan awam memainkan peranan memastikan strategi keselamatan menyeluruh dapat diterap dan diamalkan dalam seluruh aspek tadbir urus negara,” katanya.

Kredit Foto: UMNO Online