KUALA LUMPUR – Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan melaksankan inisiatif Latih Amal Keselamatan Menyeluruh pada kadar segera.

Latih Amal Keselamatan Menyeluruh ini membolehkan tahap kesiapsiagaan dipertingkat, untuk Malaysia menghadapi sebarang potensi situasi krisis pada masa hadapan,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Latih Amal ini perlu melibatkan kementerian dan agensi Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama kerajaan negeri serta penglibatan pihak swasta.

“Malah, perlu diintegrasikan aspek sukarelawan dan badan-badan bukan kerajaan khususnya melibatkan pelbagai segmen komuniti,” kata Perdana Menteri pada Majlis Perasmian Pembukaan Persidangan Keselamatan Negara 2022 dan sambutan Bulan Keselamatan Negara 2022 di Putrajaya pada Selasa.

Menurut Ismail Sabri, setiap agensi kerajaan harus bersedia melalui mekanisme sedia ada untuk memulakan perancangan pelaksanaan Latih Amal Keselamatan Menyeluruh ini pada kadar segera.

Kata beliau, bagi tempoh tiga tahun akan datang, MKN harus memulakan suatu kerangka pelaksanaan Latih Amal Keselamatan Menyeluruh untuk diuji di peringkat awal sebelum diperkemaskan secara berterusan.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada sukarelawan-sukarelawan yang sentiasa memastikan seluruh Keluarga Malaysia dapat kembali pulih sewaktu ditimpa musibah.

“Sebenarnya, budaya kesukarelawanan perlu terus disemai dan dipupuk sebagai satu pendekatan memastikan komuniti mampu berhadapan dengan cabaran-cabaran mendatang,” ujarnya.

Sementara itu, kata Perdana Menteri lagi, komuniti juga harus bersedia menjadi mata dan telinga agensi keselamatan, dalam usaha mencegah sebarang bentuk ancaman kepada keselamatan negara.

“Bagi mengiktiraf sumbangan dan peranan ahli komuniti, kerajaan memutuskan untuk memperkenalkan konsep Pengurusan Keselamatan Berasaskan Komuniti (CBSM).

“Saya percaya Persidangan Keselamatan Negara yang julung-julung kali diadakan bersempena Bulan Keselamatan Negara ini bakal menjadi wadah pemula untuk memacu usaha-usaha memelihara kepentingan negara.

“Janganlah kita sesekali lalai dan leka daripada mempertahankannya dan seterusnya mewariskan kepada generasi akan datang dengan berdaulat, aman dan sejahtera,” ucap Perdana Menteri.