PAC akan Buat Prosiding Baru LCS, Laporan Terkini Bentang Di Parlimen

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bercadang mengadakan prosiding baharu berhubung pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) pada persidangan Dewan Rakyat yang dijadual bermula Isnin ini.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, mengesyorkan prosiding mengenai kapal milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu diadakan sejurus pelantikan ahli PAC diluluskan Dewan Rakyat.

Selain itu, beliau berkata, prosiding baharu bagi perkembangan kemajuan pembinaan LCS itu akan menjadi agenda pertama Mesyuarat PAC bagi penggal Parlimen Ke-15.

Katanya, PAC dijangka mengadakan prosiding berkenaan di Limbungan Kapal Boustead Naval Shipyard (BNS), seterusnya mengadakan lawatan kerja untuk memantau kemajuan pembinaan kapal LCS.

“Saya juga akan mencadangkan PAC mengeluarkan laporan baharu untuk dibentangkan ke Parlimen, selepas laporan kemajuan dibentangkan setiap tiga bulan.

“Ini kerana, antara syor PAC dalam laporan sebelum ini menyatakan Kementerian Pertahanan perlu membentangkan laporan kemajuan pembinaan kapal LCS kepada jawatankuasa berkenaan, setiap tiga bulan.

“Saya mengambil maklum, PAC Parlimen penggal Ke-14 sudah membentangkan Laporan Perolehan Kapal LCS pada 4 Ogos 2022. Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan sudah membentangkan maklum balas terhadap tujuh syor dikemukakan PAC Parlimen penggal Ke-14, pada 5 Oktober 2022,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Media sebelum ini, melaporkan kajian daya maju dilakukan kerajaan terhadap syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi pembinaan lima kapal LCS TLDM gagal mengesan masalah kewangan syarikat berkenaan.

Ia dibuktikan apabila kerajaan terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion kepada BNS, bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 5 Tahun 2007 yang berkuat kuasa ketika itu.

Ia adalah antara sembilan rumusan diperoleh PAC menerusi prosiding berkaitan kontrak berkenaan.

Pada Oktober 2022, Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dilaporkan berkata pembinaan LCS akan disambung semula, sejurus semua rundingan dalam fasa mobilisasi yang sedang berlangsung selama enam bulan sejak Jun tahun lalu, selesai penghujung Disember tahun sama.

Beliau berkata, semua pihak terbabit mempunyai tempoh 14 bulan untuk memastikan pembinaan kapal pertama LCS disiapkan, selepas fasa mobilisasi selesai penghujung tahun lalu.

Sementara itu, Mas Ermieyati berkata, beliau dan Naib Pengerusinya, Wong Shu Qi selesai melakukan kunjungan hormat kepada semua wakil tetap atau Ex Officio PAC.

Wakil tetap berkenaan ialah Jabatan Peguam Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Kewangan, Jabatan Audit Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Kementerian Ekonomi dan Jabatan Akauntan Negara.

“Semua Ex Officio PAC yang ditemui bersetuju terus menjalinkan kerjasama erat dengan PAC bagi memastikan ketelusan dan kredibiliti jawatankuasa ini terus diperkukuh.

“Saya turut memberi penjelasan kepada semua Ex Officio PAC terhadap beberapa penambahbaikan bakal dilakukan, terutama membabitkan Laporan Tindakan Susulan Pegawai Pengawal atau Ketua Setiausaha Terhadap Syor Laporan PAC.

“Pertemuan dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul juga sudah diadakan bagi mendapatkan pandangan mengenai hala tuju dan penambahbaikan yang boleh dilakukan PAC, Selasa lalu,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat