Hab Serantau Cognizant Malaysia Bakal Wujudkan 5,000 Pekerjaan Baru – Tengku Zafrul

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pelancaran Hab Serantau Cognizant di Malaysia dijangka mewujudkan 5,000 pekerjaan baharu termasuk pekerjaan berkemahiran tinggi dan bergaji tinggi menjelang 2026, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata hab itu juga akan menjadi pusat kepada Makmal Pengalaman Inovasi pertama Cognizant Malaysia di Asean; Cognizant-AWS (Amazon Web Services) Pusat Kecemerlangan (CoE); CoE Kejuruteraan Kualiti dan Jaminan; dan Pusat Penyampaian Luar Pesisir.

“Sebagai peneraju global dalam industri perkhidmatan profesional, Cognizant telah memilih mengembangkan operasinya di Malaysia.

“Kehadiran syarikat yang semakin berkembang adalah bukti Malaysia memudahkan perusahaan untuk melakukan perniagaan, memiliki asas-asas ekonomi yang kukuh yang menyokong pendirian proindustri, properdagangan dan propelaburan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI),” katanya dalam ucapan semasa pelancaran Hab Serantau Cognizant di sini, hari ini.

Tengku Zafrul menyatakan Malaysia sedang pesat membangun sebagai hab digital Asean, disebabkan oleh faktor-faktor seperti infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang sangat maju, kumpulan bakat teknologi yang banyak, dan rangka kerja perlindungan harta intelek yang teguh dan kedaulatan undang-undang.

“Pelancaran Hab Serantau Cognizant Malaysia hari ini bukan sekadar pengembangan fizikal, tetapi simbol pertumbuhan, kemajuan dan komitmen syarikat terhadap pelaburannya di Greater Kuala Lumpur dan di Malaysia.

“Kami mengalu-alukan lebih banyak pelaburan strategik daripada Cognizant dan dengan senang hati akan bekerjasama dengan anda dalam hal ini.

“MITI berharap dapat bekerjasama rapat dengan Cognizant Malaysia bagi mewujudkan ekonomi teknologi yang cergas dan mampan,” tambahnya.

Sementara itu, Tengku Zafrul memberi jaminan MITI dan agensinya akan terus memainkan peranan dalam menarik pelaburan digital yang berkualiti, mewujudkan lebih banyak nilai dan peluang untuk pertumbuhan melalui data dan teknologi berasaskan awan, serta menjana pekerjaan bergaji tinggi untuk rakyat Malaysia.

“Pelaburan ini juga penting dalam mewujudkan kesan limpahan untuk perusahaan kecil dan sederhana, yang juga boleh menjadi bertaraf dunia dengan menjadi sebahagian daripada ekosistem vendor syarikat multinasional seperti Cognizant, selaras dengan aspirasi digital kami seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12,” tambah beliau.

Daripada pasukan kecil seramai 32 pekerja pada tahun 2014, Cognizant Malaysia telah berkembang dengan tenaga kerja lebih 2,000 orang yang menyampaikan penyelesaian digital termaju di seluruh rantau ini. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat