TMJ Cadang Akta Kanak-kanak 2001 Ditambah Baik

- Advertisement -

JOHOR BAHRU – Tunku Mahkota Johor (TMJ) mencadangkan agar penambahbaikan terhadap undang-undang khususnya Akta Kanak-Kanak 2001 dilakukan segera bagi mengelak kejadian menimpa kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) Down Sindrom iaitu Bella, berulang.

Titah Tunku Ismail Sultan Ibrahim, penambahbaikan itu perlu dilaksanakan di peringkat pindaan undang-undang bagi membolehkan akta berkenaan benar-benar mencapai matlamatnya.

“Ia harus merangkumi aspek pendaftaran pusat jagaan kanak-kanak, akreditasi, penilaian, pembiayaan dan pemantauan untuk memastikan semua pengendali beroperasi secara sah dengan cara pelaksanaan khidmat awam,” titah baginda dalam kenyataan di sini.

Tunku Ismail bertitah demikian setelah mengadakan pertemuan dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, hari ini.

Tambah baginda, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga perlu meningkatkan aspek penguatkuasaan dengan mengaudit semua pusat jagaan kanak-kanak sedia ada.

“JKM perlu mengaudit semua pusat jagaan kanak-kanak sedia ada yang diluluskan dan segera menutup mana-mana pusat jagaan yang tidak berdaftar atau beroperasi secara haram bermula di Johor serta-merta.

“Tindakan undang-undang juga harus diambil terhadap pengusaha atau pemilik mana-mana pertubuhan yang dijalankan secara haram,” tegasnya.

Dalam pada itu, Tunku Ismail turut meminta satu kajian dilakukan mengenai syarat pusat jagaan kanak-kanak ditauliahkan bersama-sama dengan penglibatan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan institusi-institusi bebas lain.

“Hasil kajian tersebut akan didedahkan kepada umum. Saya akan memastikan cadangan penambahbaikan ini diambil serius dan dilaksanakan dengan segera,” titah baginda.

Tunku Ismail turut menegaskan bahawa kebajikan kanak-kanak, terutamanya yang berada di rumah perlindungan hendaklah sentiasa dilindungi dan dijaga dengan baik.

Kisah Bella, 13, mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia apabila dia didakwa didera dan diabaikan diabaikan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, 31.

Mahkamah sebelum ini mengenakan dua pertuduhan terhadap Siti Bainun iaitu mengabaikan dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat