KUALA LUMPUR – Orang Melayu yang belajar dan faham sejarah tanah air tidak akan terkinja-kinja menjadi ahli parti yang mengidolakan pengganas Parti Komunis Malaya (PKM).
Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menyenaraikan beberapa sebab orang Melayu menolak DAP.
Menurut beliau antara puncanya ialah orang Melayu yang ada asas pendidikan agama yang kukuh takkan jadi ahli parti yang memperjuangkan liberalisme dan sekularisme, apalagi kalau ada unsur pluralisme dan evangelisme.
“Orang Melayu yang berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan tidak akan bersama dengan parti yang memperjuangkan ideologi Malaysian Malaysia, sekularisme dan prinsip kesamarataan yang bertentangan dengan ajaran Islam dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Tun Faisal berkata demikian mengulas Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali yang menyatakan menyertai DAP bukan bermaksud keluar dari Islam untuk menganut agama lain.
Sehubungan itu, beliau menggesa tuduhan kafir’ dan
murtad’ terhadap pemimpin Melayu dalam DAP seperti yang dilemparkan kepada Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan dan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman dihentikan serta-merta.
Tegas Sheikh Umar, menyertai DAP tidak ada kaitan dengan iktidad keislaman seseorang memandangkan DAP adalah wadah atau kenderaan politik, bukannya agama.
“Mereka yang tuduh menyertai DAP sebagai terkeluar dari Islam, ada dua kemungkinan; Pertama sama ada mereka jahil atau kedua mereka berfikrah ekstrimis.
“Menuduh seseorang muslim sebagai ‘kafir’ merupakan amalan takfiri. Ia sama seperti perangai golongan Khawarij.
“Dalam sejarah, golongan Khawarij telah menghalalkan darah orang Islam yang tak sealiran dengan mereka. Kesannya, berlaku pembunuhan dan umat Islam berpecah. Ini sangat bahaya,” katanya di Facebook.
Tambah Sheikh Umar, DAP merupakan sebuah parti yang berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan bergerak secara sah mengikut lunas undang-undang.
Selain itu, katanya, DAP juga bergerak mengikut Perlembagaan negara dan mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Oleh itu saya menyeru pada semua, berhentilah menuduh kafir dan murtad ke atas muslim yang menyertai DAP,” katanya.
Sebelum ini, Syahredzan dan Young Syefura dituduh telah murtad dan menjadi kafir selepas menang Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Ahad lalu.
Syahredzan yang turut dilantik sebagai Naib Pengerusi DAP Kebangsaan berkata, selain murtad kedua-dua pemimpin Melayu dalam parti itu turut dilemparkan dengan pelbagai tuduhan jelek.