Dulu No DAP Tambah Satu Lagi No PAS! Tamatkan Segera MN

KUALA LUMPUR – Muafakat Nasional (MN) diibaratkan sebagai kudis yang akan menjadi barah yang sewajarnya dibuang segera kerana tahu penyakit ini bakal memudaratkan.

Perwakilan UMNO Terengganu, Bazlan Abd Rahman memberitahu, di peringkat akar umbi UMNO di Terengganu, jelas mereka mahukan MN ini ditamatkan.

“Pada mereka, untuk apa kita terus menyimpan kudis yang akan menjadi barah? Jika sudah tahu penyakit ini mudarat, kenapa masih berlengah untuk berubat? Ubat mujarab ialah memutuskan hubungan politik dengan PAS.

“Tamatkan MN dengan segera. Bahkan itu lah yang di tunggu oleh PAS sendiri. Jadi kenapa perlu kita takut? Pinggan tak retak, nasi tak dingin. Orang tak hendak kita pun tak ingin,” katanya ketika membahas ucapan dasar Presiden UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO , di WTC pada Sabtu.

Bazlan menyebut setelah beberapa kali pentadbiran negara bertukar pucuk pimpinan, kelihatannya PAS dilihat sudah tidak lagi bernafsu untuk terus bersama-sama memperkuatkan MN.

Katanya sudah tidak seperti pada hari bersejarah kepada umat Melayu Islam negara ini apabila PAS dan UMNO menandatangi piagam MN pada 14 September 2019 dengan pelukan erat dan juraian air mata pemimpin dan penyokong di Dewan Merdeka, hari ini semuanya hampir tinggal menjadi satu sejarah semata-mata.

“Ku sangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengahari. Umpama bunga tanggal kelopak, ibarat madu habis manisnya, MN kini hanya tinggal sebagai sebutan.
Kalau hilang tidak dicari, Kalau sakit tidak diubati, kalau habis pun tidak diganti.

“Semua ini gara-gara sikap curang PAS yang berjinak-jinak dengan Bersatu melalui Perikatan Nasional (PN). Bahkan ucapan-ucapan pemimpin PAS akhir-akhir ini bersifat prejudis seolah-olah kita yang menyebabkan retaknya MN.

“Manakala kecurangan dan tamak haloba mereka cuba mendapat keuntungan melalui PN tidak pula diinsafi sebagai punca masalah dalam MN. Dalam soal hubungan dengan PAS ini, mari kita melihat apa yang berlaku di Terengganu,” kata Bazlan.

Sebab itulah, katanya Datuk Seri Ahmad Said sentiasa konsisten mengingatkan kepada pucuk pimpinan agar berhati-hati dengan helah PAS.

“Kami berhadapan dengan PAS sejak 3 generasi yang lalu. Parut yang ditinggalkan oleh PAS masih dirasai hingga ke anak cucu orang UMNO hari ini…sejak peristiwa solat 2 imam, kafir mengakafir, nikah dua kali, semeblihan tidak boleh di makan dan segala macam fatwa songsang yang telah dikeluarkan oleh PAS.

“Semua ini wujud kerana PAS tidak menganggap UMNO BN sebagai sebahagian daripada kerajaan. Jauh sekali untuk mengagihkan jawatan-jawatan di setiap peringkat pentadbiran kepada UMNO,” jelasnya.

Di peringkat akar umbi UMNO di Terengganu kata Bazlan mereka jelas mahukan MN ini ditamatkan.

“Pada mereka, untuk apa kita terus menyimpan kudis yang akan menjadi barah? Jika sudah tahu penyakit ini mudarat, kenapa masih berlengah untuk berubat? Ubat mujarab ialah memutuskan hubungan politik dengan PAS.

“Tamatkan MN dengan segera. Bahkan itu lah yang di tunggu oleh PAS sendiri. Jadi kenapa perlu kita takut? Pinggan tak retak, nasi tak dingin. Orang tak hendak kita pun tak ingin,”katanya.

Oleh yang demikian Bazlan, yakinlah bahawa perjuangan ini tidak akan mati hanya kerana UMNO tidak mahu bersama-sama dengan PAS.

“Yakinlah kepada kesetiaan ahli dan sokongan rakyat. Jika dahulu kita laungkan No DAP, NO PKR, NO Bersatu dan hari ini kita tambah satu lagi No PAS! Seru beliau.