KUALA LUMPUR – “Apa yang kita tak cakap pasal Presiden? Saya juga yang panggil Presiden “dinosour”,” akui Perwakilan Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Saleh.

Beliau yang juga ADUN Merlimau sempat mengimbau sejak 2018, Pemuda UMNO paling lantang bersuara menentang Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Secara peribadi saya pernah memuat naik status dalam Facebook saya, hantaran secara umum yang saya cerita pasal dinosour politik.

“Sejujurnya, hantaran itu tak ada kena mengena dengan ayahanda Presiden tapi saya dapat maklum ayahanda Presiden terasa hati dengan hantaran tersebut. Saya tak tuju kepada sesiapa, saya minta maaf pada ayahanda jika ada terasa hati.

“Tetapi ayahanda Presiden kita ini cool dia relaks saja, walaupun dia sakit hati dengan saya. Lancar betul mulut budak jantan ini, tapi dia langsung tak menyimpan dendam. Kalau simpan dendam Pemuda mesti bagi kerusi lebih daripada sebenarnya.

“Di PRN Melaka, Presiden bagi empat kerusi kepada Pemuda jika dulu cuma satu, dua kerusi saja. Saya yang celupar pun dapat jadi calon. Ini lah sebenarnya Mr. Gentleman UMNO,” puji Dr Akmal ketika membahas ucapan dasar Presiden UMNO dalam Perhimpunna Agung UMNO, di WTC pada Sabtu.

Katanya lagi, disebabkan kedinosouran inilah Zahid berjaya membaham dua Perdana Menteri daripada Bersatu.

“Yang itu saya tak tarik balik, yang lain saya tak tarik balik,” ujarnya.

Dalam pada itu, Akmal berkata desakan PRU-15 yang dibuat UMNO ini juga bukan bermakna UMNO akan menang sebaliknya mandat dikembalikan semula kepada rakyat.

Katanya, sukar untuk membuat dasar dan keputusan sekiranya kerajaan yang ada kini tidak stabil.

Kredit foto: FB Akmal Saleh