Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia Platform Terbaik Bantu Cari Kerja – Graduan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – “Platform terbaik bantu saya cari kerja”, demikian pendapat seorang graduan yang telah menamatkan pengajiannya November tahun lepas berhubung inisiatif kerajaan iaitu Karnival Kerjaya JaminKerja 2022 yang dianjurkan hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Nor Syazilah Abd Ghani, 24, yang berasal dari Serdang berkata beliau mahu mendapatkan kerja secepat mungkin selepas menjalani temu duga di lebih lima syarikat selepas menamatkan pengajiannya di Universiti Kuala Lumpur.

Beliau juga berpuas hati dengan proses yang perlu dilalui di karnival itu yang secara langsung telah membantunya mendapatkan pengalaman memohon pekerjaan secara bersemuka.

“Bila dapat mohon secara bersemuka, kita dapat tengok jawatan apa yang sesuai dengan kita dan boleh runding dengan majikan terus tentang apa yang sesuai dan tidak sesuai dengan kita,” katanya ketika ditemui Bernama di karnival tersebut.

Menurutnya, setakat pukul 1.30 tengah hari tadi, beliau telah memohon di tiga syarikat yang menawarkan perkhidmatan berkaitan dengan jurusan pengurusan perniagaan yang diambil di universiti.

Sementara itu, Pengurus Kawasan Ayam Goreng Kentucky (KFC) Kamisaturradia Safari berkata syarikatnya akan menyediakan sebanyak mungkin pekerjaan untuk rakyat Malaysia kerana KFC memerlukan tenaga kerja yang ramai dari segi pengurusan serta perkhidmatan di restoran makanan segera itu.

Oleh itu, beliau menyeru orang ramai untuk mengambil peluang tersebut dan memohon pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan mereka.

Karnival Kerjaya JaminKerja 2022 yang dilancarkan hari ini adalah inisiatif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) yang menyediakan sebanyak 600,000 peluang pekerjaan tahun ini dengan peruntukan RM4.8 bilion.

Menurut KSM, karnival berkenaan diharap dapat menangani isu pengangguran dengan lebih berstruktur dan menyeluruh dan kementerian itu sentiasa berusaha untuk meningkatkan ketersediaan dan kebolehpasaran bakat melalui pelbagai platform. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat