“Dah cerai talak tiga, UMNO tak sayang Dr Mahathir lagi” – veteran

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub memberitahu bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa parti Melayu itu sudah tidak lagi menyayanginya.

Katanya, walaupun Dr Mahathir mengungkap “i still love you” kepada bekas parti yang pernah dipimpinnya selama 22 tahun namun, UMNO sudah tidak ada hati terhadap beliau.

“Perumpamaan sayang Dr Mahathir kepada UMNO macam suami isteri yang bercerai talak tiga, kalau nak kembali semula kena guna ‘cina buta’ tapi si isteri dah kahwin orang lain.

“Nampaknya si suami gila bayang, kenang semua kebaikan dulu-dulu. Tapi itulah UMNO dah tak sayang Dr Mahathir macam dulu, kami tak ingin dah bersama dia, jadi tak payahlah berhiba sendirian,” tegas Mustapha.

Baru-baru ini, Dr Mahathir mengakui beliau masih menyayangi parti pertama yang pernah dipimpinnya iaitu UMNO sehingga kini.

“Ya, saya masih sayang UMNO, 22 tahun saya jadi Presiden UMNO,” katanya.

Bagaimanapun, Pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang kini Penasihat Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu meletakkan syarat sekiranya ada pihak yang mahu beliau kembali kepada parti lamanya itu.

“Yalah, kalau UMNO pegang balik kepada dasar awalnya berjuang untuk bangsa, untuk negara, untuk agama saya boleh kembali kepada UMNO tetapi ‘penyangak-penyangak’… apa semua (itu) saya tidak boleh bekerjasama dengan mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, ditanya laporan yang melaporkan bahawa Bersatu meminta UMNO segera membuat keputusan mengenai kerjasama politik mereka menuju PRU-15.

Mustapha berkata, Bersatu tidak ada hak mendesak UMNO membuat keputusan sedemikian.

“147 Bahagian UMNO dah tekad menolak kerjasama dengan Bersatu pada PRU-15.

“Majlis Tertinggi (MT) UMNO tak akan membelakangkan usul majoriti akar umbi itu. Saya sebagai suara veteran yakin tak timbul langsung UMNO nak kerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Bersatu dikatakan membuat permintaan untuk ia memuktamadkan hala tuju dan strategi Perikatan Nasional (PN) menjelang PRU-15. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat