KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan anaknya Mirzan Mahathir didakwa dengan ugutan sekiranya membuat apa-apa tindakan yang bertentangan dengan pendakwa bahkan berdepan penjara lima tahun.
Bekas Perdana Menteri itu mendakwa bahawa Mirzan yang juga ahli perniagaan tidak akan dihadapkan ke mahkamah.
Beliau berkata demikian merujuk kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah menyerahkan perintah notis kepada Mirzan Mahathir untuk mengisytiharkan aset dalam tempoh 30 hari, dalam siasatan berhubung maklumat dalam Kertas Panama.
“(Datuk Seri) Anwar tuduh saya memiliki berbillion Ringgit kerana menyalah guna kuasa semasa jadi Perdana Menteri. Saya minta bukti kebenaran kenyataan ini.
“Anwar tidak bagi bukti. Saya saman Anwar kerana fitnah terhadap saya.
“Saya minta bukti dikemuka dalam mahkamah. Setahun sudah berlalu namun tidak ada bukti ditunjuk.
“Akhir sekali konon bukti ada pada Petronas. Sedangkan Petronas terletak bawah Anwar.
“Tetapi sebaliknya anak saya didakwa dengan ugutan jikalau dia buat apa-apa tindakan yang pendakwa anggap bertentangan dengan dakwaan dia akan dipenjara selama lima tahun.
“Tidak disebut akan dihadap ke mahkamah.Inilah Reformasi,” tempelak Mahathir dalam kenyataan pada Jumaat.
Tambah beliau, sewaktu di luar kerajaan cakap tentang kezaliman pihak berkuasa.
Kata Mahathir, apabila jadi kerajaan dan berkuasa melakukan lebih buruk kezaliman terhadap musuh politik.
“Kalau sokong jadi kawan,” katanya.
Malah menurut beliau, perbicaraan mahkamah pun boleh dihentikan.
“Ramai nama penyokong Kerajaan dalam Pandora papers seperti Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen dan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, tidak disiasat, jauh sekali didakwa.
“Terdapat juga nama beberapa ahli perniagaan seperti Lim Kok Thay, Mahmud Bekir, Tiong Hiew King, Larry Low Hock Ping, Datuk Yamani Hafez Tan Sri Musa dan mendiang Tan Sri G Gnanalingam dalam Pandora papers.
“Inilah keadilan reformasi,” kata Mahathir lagi.