Formula tawan pasaran Indonesia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Biarpun dianggap serumpun, entah mengapa usaha membawa produk seni tempatan terutama filem dan drama menembusi pasaran Indonesia, bukanlah mudah.

Jika diperhatikan, sejak dahulu lagi, hanya segelintir penggiat seni berjaya menawan rakyat republik itu seperti Datuk Sheila Majid yang membuka jalan kepada eksplorasi muzik tempatan ke Indonesia pada era 1980-an.

Ini diikuti kumpulan rock lagenda, Search yang melonjak dengan lagu ‘berhantu’, Isabella. Memasuki era 1990-an, Datuk Seri Siti Nurhaliza pula menambat hati peminat republik itu disusuli beberapa artis lain, biarpun skala kemasyhuran mereka sukar menandingi Sheila yang memiliki reputasi ampuh di seberang hingga sekarang.

Artis seperti kumpulan Exist, Slam, Hujan dan penyanyi iaitu Baby Shima, Shiha Zikir, selain pelakon iaitu Keith Foo dan Bront Palarae boleh dianggap penyambung kepada populariti bintang yang terlebih dahulu mencipta nama di Indonesia.

Sesuatu yang diperhatikan, berbanding produk muzik, karya filem dan drama yang dihasilkan pengkarya tempatan biarpun ‘trending’ di Malaysia, belum mampu menawan pasaran seberang.

Namun, siri animasi popular, Upin & Ipin terus popular di Indonesia biarpun selepas 13 tahun dibawa memasuki pasaran negara itu.

BH Online mendapatkan pandangan peneraju industri kreatif mengenai pasaran Indonesia dan penerimaan peminat republik itu terhadap produk tempatan yang rata-ratanya memiliki kualiti terbaik, malah ada yang meraih pengiktirafan antarabangsa.

Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Sdn Bhd, Burhanuddin Md Radzi, mengakui bukan mudah hendak menembusi pasaran Indonesia.

Berkongsi pengalaman, Upin & Ipin mengambil masa dua tahun sebelum dapat ditayangkan di saluran televisyen (TV) di republik itu.

“Diakui mereka kurang menggemari produk kreatif kita. Tidak kiralah filem, muzik atau buku. Tanggapan mereka, apa sahaja produk yang datang dari Malaysia, kurang bagus.

“Kami mengambil masa dua tahun iaitu dari 2007 hingga 2009 untuk meyakinkan mereka menerima produk kami. Pada 2010 barulah Upin & Ipin ditayangkan. Tetapi saya letak syarat untuk mengekalkan penggunaan Bahasa Malaysia.

“Pada mulanya mereka agak skeptikal penonton tidak akan suka bahasa kita. Tetapi apabila ditayangkan, mereka boleh terima kerana menganggap Bahasa Melayu lucu,” katanya kepada BH Online.

Burhanuddin berkata, sehingga hari ini, siri animasi Upin & Ipin masih ditayangkan tiga kali sehari bagi tempoh lima jam di saluran MNCTV.

Tambahnya, tiada formula khusus yang menjadi tali pengukur kepada kejayaan Upin & Ipin, namun beliau percaya kisah masyarakat yang sarat dengan pengajaran menjadi daya tarikan, selain peka dengan sensitiviti rakyat republik itu.

“Kisah dipaparkan dalam Upin & Ipin penuh dengan adat, budaya dan cerita masyarakat, malah ada antara siri baharu yang kami hasilkan, sengaja kami terapkan kisah hidup masyarakat Indonesia.

“Misalnya, kisah taufan. Jadi, apabila mereka menonton, dapat dirasakan kisah yang kita paparkan kena dengan diri mereka.

“Di Indonesia, Upin & Ipin bukan diikuti kalangan kanak-kanak sahaja, malah golongan dewasa. Selain itu, kami kurang paparkan Jalur Gemilang untuk tayangan di Indonesia kerana kita tahu peminat di sana kurang senang jika terlalu menonjolkan bendera kita dalam siri berkenaan.

“Itu sahaja formula yang saya nampak untuk memenangi hati peminat Indonesia,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli mengakui isu tayangan naskhah tempatan di negara jiran terutama Indonesia, sudah lama diperjuangkan.

Jurey berkata, jika drama Indonesia boleh ditayangkan di Malaysia hingga mendapat sambutan hangat, mengapa tidak naskhah kita tidak mendapat sambutan sama di republik itu.

Jurey tidak menolak antara faktor adalah produk drama atau filem Malaysia tidak menampilkan artis Indonesia. Foto Ihsan PTVM

Jurey tidak menolak antara faktor adalah produk drama atau filem Malaysia tidak menampilkan artis Indonesia. Foto Ihsan PTVM

“Memang drama kita jarang ditayangkan di Indonesia, memang ada, tetapi tidak banyak. Jika ada pun ia membabitkan kolaborasi antara produksi Indonesia contohnya kerjasama Grand Brilliance, Astro, Skop Productions Sdn Bhd dan sebagainya,” katanya.

Jurey tidak menolak antara faktor adalah produk drama atau filem Malaysia tidak menampilkan artis Indonesia.

“Mungkin juga kerana tiada perjanjian bersama pihak berkepentingan di Indonesia sebelum sesuatu naskhah diterbitkan. Sepatutnya, tiada masalah untuk kita buat sedemikian kerana kita dapat lihat banyak drama Indonesia ditayangkan di Malaysia,” katanya.

Pernah mengusulkan inisiatif bekerjasama dengan penerbit di Indonesia, Jurey berkata, pihaknya bertemu Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa untuk membincangkan isu pasaran karya tempatan di republik itu.

“Kami bangkitkan isu misalnya, stesen televisyen (TV) seperti RTM, sepatutnya beri kebenaran kepada syarikat tempatan untuk berbincang dengan rakan di Indonesia, Thailand, Singapura atau negara lain untuk kita bekerjasama.

“Contohnya, jika RTM benarkan kerjasama, mungkin kita boleh jalankan penggambaran di Indonesia dan Thailand. Karya itu kemudian ditayangkan stesen TV di negara terbabit,” katanya.

Jurey berkata, PTVM ada mengusulkan cadangan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) agar merintis kerjasama antara syarikat produksi tempatan dan asing melalui agihan Dana Kandungan Digital (DKD).

“Setahu saya, FINAS sudah diarah kementerian untuk menawarkan kerjasama itu, namun kita masih belum mendengar pengumuman rasmi mengenainya.

“Jika FINAS beri kita dana, tiada masalah. Kita bukan sahaja boleh hasilkan kandungan bertaraf antarabangsa yang ditayangkan di Malaysia, malah di luar negara.

“Dengan cara ini, barulah boleh cakap ‘permainan’ kita sama tinggi dengan Indonesia, Thailand, Singapura dan sebagainya. Namun, sekarang, kita masih syok dalam ‘kampung’ kita sahaja,” katanya.

Jurey percaya kerajaan mempunyai dana yang dapat membantu penerbit tempatan menghasilkan karya bertaraf global asalkan disalur kepada pihak betul.

Sehubungan itu, Jurey berharap DKD diagihkan kepada syarikat produksi yang berkemampuan dalam menghasilkan naskhah bermutu.

“Kalau boleh, berikan dana kepada syarikat yang layak dan mempunyai rekod serta kemampuan kewangan baik. Bukan bagi kepada syarikat yang tak mampu, pinjam merata-rata, akhirnya naskhah tak siap.

“Itulah antara kekangan kita membawa produk tempatan ke luar negara. Takkanlah kita tidak boleh fikirkan dana untuk pasaran antarabangsa. Mulakan langkah sekarang, barulah boleh cakap karya tempatan pergi pasaran global,” katanya.

Jurey memberi contoh platform penstriman Viu banyak menjalinkan kerjasama menghasilkan naskhah berkualiti tinggi.

“Kita boleh tengok di Viu banyak drama tempatan bagus-bagus. Mereka sanggup bayar tapi stesen penyiar tempatan yang lain, tidak sanggup.

“Kita boleh tengok Squid Game berbelanja beratus juta untuk dimainkan di Netflix. Ini sebenarnya cabaran buat kita untuk menyediakan kandungan.

“Andai ditanya saya, kita mampu buat tapi bajet tiada. Jadi, perlu ada kerjasama dan perbincangan daripada semua pihak terutama kerajaan untuk mengangkat karya kita.

“Kalau mahu tengok kandungan kita ditayangkan di luar negara, kena bersungguh daripada perbincangan awal iaitu mengemukakan cadangan antara dua negara,” katanya.

Sementara itu, penerbit dan pengarah, Shahrulezad Mohameddin, berkata kesukaran produk tempatan menembusi pasaran Indonesia mungkin berpunca daripada kekangan pentadbir di republik itu dan sikap penggiat seni yang terlalu mengawal kandungan program luar.

“Mereka tidak terbuka seperti kita, mungkin disebabkan sikap pentadbir di sana. Hubungan kita dan Indonesia umpama adik beradik, di mana ada ‘love-hate relationship’.

“Mereka keberatan terima produk kita sedangkan drama Korea diterima baik. Sama juga bidang nyanyian. Hanya segelintir penyanyi yang diterima seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Sheila Majid dan Amy Search.

Shahrulezad percaya pendedahan dalam media sosial menjadi punca drama rantaian arahannya, Nur, mendapat sambutan di Indonesia. Foto Ihsan Shahrulezad Mohameddin

Shahrulezad percaya pendedahan dalam media sosial menjadi punca drama rantaian arahannya, Nur, mendapat sambutan di Indonesia. Foto Ihsan Shahrulezad Mohameddin

“Saya fikir itu pemikiran mereka yang kita sukar faham,” katanya.

Shahrulezad mengakui kurang pasti mengapa drama arahannya, Nur diterima di Indonesia tetapi dia tidak menafikan pengaruh YouTube memberi kesan kepada pentadbir atau pihak berkuasa republik itu menerima kemasukan drama tempatan.

“Mungkin disebabkan subjek diketengahkan dalam Nur berjaya menarik penonton republik itu. Dengan adanya platform YouTube, secara tidak langsung membolehkan drama kita melangkah ke peringkat global.

“Saya harap drama tempatan akan lebih diterima di Indonesia. Tetapi kita tidak boleh paksa mereka untuk terima,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat