KUALA LUMPUR – Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin pernah menyampaikan seolah-olah satu wasiat agar anaknya, Mohd Naim Kurniawan Moktar diberi peluang untuk bertanding di kerusi Parlimen Kinabatangan.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pesanan itu pernah disuarakan oleh Bung Moktar kepadanya sebelum ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata, meskipun beliau berpandangan cadangan tersebut adalah baik, perbincangan lanjut bersama rakan-rakan kepemimpinan parti serta Kerajaan Negeri Sabah masih perlu diadakan.
“Secara kebetulan, dalam perbincangan saya dengan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar, terdapat seolah-olah satu wasiat daripada beliau agar Naim, anak arwah, diberi peluang untuk bertanding di kawasan Parlimen Kinabatangan.
“Namun, perkara ini masih belum dibawa ke mesyuarat induk Umno mahupun Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional,” katanya selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) Kali Ke-3 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), lapor Utusan pada Khamis.
Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag diadakan susulan kematian penyandangnya, Bung Moktar, pada 5 Disember lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 24 Januari ini, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 10 Januari dan 20 Januari.
Zahid berkata, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah memberi isyarat tidak akan meletakkan calon di kerusi Parlimen dan DUN berkenaan.
“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Datuk Seri Hajiji Noor yang telah memberikan satu bentuk pengesahan GRS tidak akan bertanding dalam PRK Kinabatangan dan Lamag. Saya menghargai indikasi yang telah diberikan itu,” katanya.
Pada masa sama, beliau memaklumkan sedang mengadakan beberapa rundingan dengan parti tempatan di Sabah dan berharap perbincangan tersebut akan membuahkan hasil khususnya bagi kawasan Lamag.
Jelasnya, perkara itu penting memandangkan Bung Moktar memenangi kerusi tersebut dengan majoriti hanya 153 undi selepas dicabar oleh calon bebas.
“Keadaan ini menjadikan persaingan sama ada di Lamag mahupun di Kinabatangan sebagai sesuatu yang perlu diberi perhatian serius.
“Ini kerana pengundi-pengundi di Sabah terlalu letih dengan kekerapan Pilihan Raya yang diadakan kebelakangan ini, sedangkan Pilihan Raya Umum ke-16 pula dijangka berlangsung dalam tempoh paling lama 24 bulan lagi. Ini bermakna mereka akan berdepan dengan satu lagi Pilihan Raya.
“Oleh itu, saya berharap pertimbangan yang dibuat melalui rundingan ini dapat diterima oleh semua rakan tanpa mengira parti politik atau latar belakang, sama ada calon tersebut daripada parti politik tertentu atau calon bebas. Perkara ini perlu diberi pertimbangan yang wajar oleh semua pihak,” katanya.



