KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Puad Zarkashi menghargai kenyataan Senator Pas Nik Abduh Nik Abdul Aziz susulan kenyataannya bahawa Datuk Seri Najib Razak seharusnya diberikan kebebasan penuh, bukan sekadar menjalani baki hukumannya di rumah.
Kata Puad yang juga Speaker DUN Johor itu, beliau yakin gesaan anak bekas tokoh legenda Pas Allahyarham Nik Aziz Nik Mat itu ikhlas apabila mendakwa perbicaraan Najib senget.
“Saya ucap terima kasih kepada Nik Abduh kerana berterus terang. Dia cadang supaya Najib dibebaskan sepenuhnya bukan tahanan dalam rumah.
“Saya yakın Nik Abduh ikhlas apabila mendakwa perbicaraan Najib senget. Memang senget, sebab itu Tan Sri Abdul Rahman Sebli Hakim Besar Sabah dan Sarawak mendakwa Najib tidak diberi perbicaraan yang adil.
“Kita tidak pasti pemimpin Pas lain ikhlas atau tidak apabila beriya-iya membangkitkan isu titah adendum. Ada yang ke mahkamah tunjuk muka.
“Jadi kita doakan Nik Abduh kekal lama dalam kepimpinan tertinggi Pas. Parti itu suka cop orang. Siapa yang dicop senget akan cepat disisihkan,” kata Puad dalam hantaran di Facebooknya pada Rabu.
Pun begitu Adun Rengit itu mempersoalkan apa yang dimaksudkan oleh Nik Abduh dengan berlakon matang?
“Adakah “mereka yang bijak berlakon tetapi hakikatnya palsu?”
“Sebab itu cabaran kepada Najib kini ialah bukan sahaja dia gagal dapat perbicaraan adil tetapi lakonan matang peringkat tertinggi. Menurut Nik Abduh, mahkamah juga berlakon,” kata Puad.
Terdahulu Nik Abduh dilaporkan berkata, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak seharusnya diberikan kebebasan penuh, bukan sekadar menjalani baki hukumannya di rumah.
Bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata, beliau kekal dan semakin teguh dengan pendirian Najib menghadapi perbicaraan ‘senget’.
Menurutnya, bekas Presiden Umno itu tidak diberikan haknya untuk membela diri dengan sempurna.
“Saya tidak cadangkan beliau diberi tahanan rumah. Hak beliau adalah bebas sepenuhnya. Bukan kerana beliau terbukti tidak bersalah, tetapi gagal diberi ruang pembelaan yang sewajarnya.
“Justeru bagaimana pembuktian beraksi sempurna? Pandangan saya, sebagaimana politik negara masih berlakon matang, adakah mahkamah juga penuh lakonan?” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengemukakan isu titah adendum Najib untuk dipertimbangkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selaku Pengerusi Lembaga Pengampunan.
Anwar berkata, Lembaga Pengampunan akan mengambil kira beberapa perkara termasuk perjalanan kes, hukuman, sikap di penjara, khidmat dan jasa serta kepercayaan boleh menyempurnakan tanggungjawab dengan baik sebelum membuat keputusan.