KUALA LUMPUR- Umno tidak mampu memerintah sebagai parti solo dan situasi itu akan berterusan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Setiausaha Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub berkata, semua pihak perlu terima hakikat bahawa parti itu memerlukan masa untuk kukuh semula seperti yang berlaku pada Barisan Nasional (BN) sebelum 2018.
“Umno memerlukan rakan kongsi seperti sekarang iaitu bersama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk menubuhkan kerajaan dan seperti yang ditegaskan Presiden parti, Umno, BN akan meneruskan kerjasama ini dalam PRU-16.
“Maka Veteran Umno bersetuju dengan cadangan itu bahawa Umno-BN memang tidak ada cara lain jika mahu menjadi sebahagian daripada pemerintah dalam Putrajaya,” lapor Utusan.
Ditanya jangkaan Umno berapa lama masa untuk pulih dan kembali menjadi kukuh, Mustapha berkata, beliau tidak berani meramalkan perkara itu, namun bergantung kepada keputusan PRU-16 nanti.
Bagaimanapun buat masa ini, jelasnya lagi, Umno perlu memikirkan strategi untuk menjadi parti tunjang dalam Kerajaan Perpaduan supaya boleh kembali menjadi kukuh dan akhirnya memerintah secara solo.
“Jika PRU-16 ini kita mampu untuk menambah kerusi kepada satu jumlah yang lebih besar daripada sekarang, ia memberi petanda yang Umno-BN mampu kembali menjadi tunjang kepada Kerajaan Perpaduan.
“Jika sekarang BN ada 30 kerusi, kalau kita mampu tambah lagi 30 kerusi atau lebih, maka ia akan menjadi satu gabungan yang Umno menjadi tunjang kepada Kerajaan Perpaduan itu. Untuk sekarang, Umno perlu bekerja keras ke arah itu,” ujarnya.
Semalam, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim dalam laporan Mingguan Malaysia berkata, Umno perlu mempertimbang semula kerjasama dengan Kerajaan Perpaduan jika berhasrat menjadi ‘bos’ di Malaysia, malah turut menyifatkan parti tu merupakan ‘isteri ketiga’ dalam Kerajaan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam perkembangan berkaitan yang melihat kepada perkembangan politik hari ini, Mustapha turut berkata, masyarakat sudah mulai sedar dan jelas memperlihat kepada perbandingan pemerintahan BN sebelum 2018 dengan pemerintahan yang ada kemudiannya.
“Saya yakin mereka mereka sudah mula yakin bahawa zaman kegemilangan BN adalah yang terbaik. Kita tidak mahu cakap lagi apa yang dicakap jurucakap semasa kempen PRU dulu. Kita tidak mahu bercakap tentang hapus tol, turun minyak, hapus hutang PTPTN, rakyat tahu semua itu janji kosong yang tidak terlaksana sampai sekarang.
“Rakyat juga sudah tahu hanya BN parti yang boleh kembalikan kegemilangan ekonomi, kestabilan politik dan sosial. Saya nampak trend rakyat mula bosan dengan cerita dulu yang pada masanya orang percaya tetapi terbukti tidak menjadi dan tidak mampu dilaksanakan,” kata beliau.