Oleh Zihan Zari
KOTA KAYANG – Program Nostalgia Anak Kampung (NAK): Dunia Anak Bendang merupakan salah satu program utama Jabatan Muzium Malaysia (JMM) bagi menghidupkan kembali suasana dan aktiviti permainan tradisional yang semakin dilupakan oleh generasi muda.
JMM dalam kenyataannya memaklumkan, buat julung kalinya, tema ‘Dunia Anak Bendang’ dipilih bagi menggamit memori kehidupan masyarakat kampung yang tinggal di kawasan bendang dalam Program NAK: Dunia Anak Bendang dan Bermalam di Muzium (Belia) pada 15 hingga 17 November lalu.
Menurutnya, perasmian penutup program ini telah disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Dato’ Rahimi Ismail di Muzium Kota Kayang dekat sini pada, pada Sabtu.
Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri Perlis, Hj. Zepri Saad, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis, Asrul Aimran Abd Jalil, Ketua Pengarah JMM, Datuk Kamarul Baharin A.Kasim; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JMM, Mohd Shawali Hj.Badi; Timbalan Ketua Pengarah JMM, Mohd Razaimi Hamat; Pengarah Lembaga Muzium Negeri Kedah, Shuhadi Shukri; Timbalan Pengarah Muzium Negara, Nor Hanisah Ahmad, dan Pengarah Muzium Kota Kayang, Siti Munirah Kasim.
“Program ini dianjurkan oleh JMM menerusi Muzium Negara dan Muzium Kota Kayang dengan kerjasama Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS).
“Ianya bagi memperkukuhkan ikatan silaturahim serta memupuk rasa cinta terhadap warisan budaya tradisional kampung dalam kalangan generasi muda dan dewasa.
“Program NAK telah bermula sejak 2016 dan asalnya hanya dijalankan sebagai pengisian aktiviti ketika cuti sekolah sahaja.
“Namun aktiviti ini telah mendapat sambutan yang mengalakkan dari kalangan pengunjung tempatan dan luar negara menyebabkan JMM menjadikan program ini sebagai acara wajib di Muzium Negara pada setiap tahun.
“NAK diangkat sebagai satu lagi inisiatif untuk menyemarakkan aktiviti pelancongan dan kebudayaan di samping mendidik masyarakat tentang nilai budaya, identiti dan jati diri kepada generasi muda agar ia tidak terus terhakis dek arus pemodenan, ”kata kenyataan itu.
“Program Bermalam di Muzium (Belia) julung kali diadakan dengan penyertaan dibuka kepada belia,
manakala Program Bermalam Di Muzium merupakan program saban tahun diadakan melibatkan pelajar sekolah sahaja.
“Program ini juga merupakan satu inisiatif menggunakan pendekatan serampang dua mata dengan melibatkan YSS sebagai rakan kerjasama dalam menjayakan program ini,”katanya.
“JMM telah merangka pelbagai aktiviti mengikut kluster seperti Zon Pameran, Jualan & Perkhidmatan, Zon Aktiviti Pentas; Zon Aktiviti Bendang & Zon Keluarga; Pertandingan Busana Anak Kampung Cilik; Mewarna Indahnya Kampung, dan Gubahan Sirih Junjung.
“Selain itu, Pocket Talk: Kampung Boy Bersama Datuk Lat; Persembahan Silap Mata; Persembahan Wayang Kulit 6 Bersaudara; Kebudayaan Pelbagai Kaum; Pertandingan Cabaran Gerek Bendang; Bola Sepak Bendang, dan Fun Walk Anak Kampung,
“Turut diadakan, pameran & jualan Ikan Laga; Seni Suara & Gaya Burung Merbah Jambul & Murai Kampung; Menumbuk & Menampi Padi; Jualan Rahmah; Jualan Produk Orang Kampung; Petting Zoo; pameran muzium dan agensi-agensi kerajaan, ”katanya lagi. SUARA.TV