Tulis oleh: Mohd Zihan bin Zari
KAJANG – Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mengumumkan pelantikan Ts Dr. Siti Zaharah Ishak sebagai Ketua Pengarah MIROS baharu berkuat kuasa 17 November 2023.
Sebelum itu, beliau adalah Timbalan Pengarah, Malaysia Institute of Transport (MITRANS) Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan pernah dilantik sebagai KP MIROS selama dua tahun pada 5 Mei 2018 hingga 4 Mei 2020.
Siti Zaharah ,47, berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Kejuruteraan Sistem Pengangkutan dari University of South Australia, (UniSA), MSc. Highway & Transportation Engineering Universiti Putra Malaysia (UPM), B. Eng. (Hons) Civil, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Diploma in Civil Engineering Universiti Teknologi Mara (UiTM), Professional Technologist Transportation and Logistic Technology (TL), Lembaga Teknologis Malaysia dan
Professional of Chartered Member CILT (CMILT).
Beliau yang mempunyai pengalaman luas dan kepakaran dalam bidang kejuruteraan keselamatan jalan, keretapi, sistem pengangkutan dan awam itu pernah dilantik sebagai Pensyarah Kanan Pengajian Kejuruteraan Awam UiTM, Ketua Pusat Pengangkutan Awam & Pembangunan Mampan MITRANS dan Pengarah Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Keselamatan Jalan Raya & Persekitaran MIROS.
Selain kecemerlangan dalam kerjaya, beliau turut cergas melibatkan diri dalam beberapa persatuan profesional antaranya, Lembaga Jurutera Malaysia (LJM), Institusi Jurutera Malaysia, Road Engineering, Association Malaysia (REAM), Road Engineering Asia and Australasian (REAAA), Intelligent Transport System Association of Malaysia (ITSM) dan Chartered Institute of Logistics and Transport (CILT).
“MIROS yakin beliau dapat menggalas tanggungjawab sebagai peneraju penyelidikan keselamatan jalan raya dan seterusnya meningkatkan lagi prestasi agensi ini dalam mencapai aspirasi untuk memupuk sains dan kesenian dalam intervensi keselamatan jalan raya serta meneruskan kesinambungan kecemerlangan kepimpinan agensi ini, ” demikian menerusi kenyataan MIROS yang dikeluarkan semalam.
– SUARA. TV