Kerajaan Kaji Naikkan Kuota Premis Perniagaan Milik Bumiputera Di Lokasi Strategik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Dalam misi kerajaan memperkasa ekonomi Bumiputera, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu Majlis Mesyuarat Kemakmuran Bumiputera (MKB) mencadangkan agar kuota jumlah premis perniagaan milik Bumiputera di lokasi-lokasi strategik diwujudkan selaras dengan usaha meningkatkan daya saing dan mengukuhkan ekonomi golongan itu.

Namun kata beliau, kuota ini akan diuruskan dengan cara telus dan adil agar matlamat utama untuk membantu perniagaan Bumiputera yang layak dan berpotensi tercapai, tanpa disalah guna sehingga tersasar daripada objektif sebenar, sejajar dengan aspirasi Keluarga Malaysia.

“Merujuk kepada penglibatan Bumiputera dalam perolehan Kerajaan, mesyuarat dimaklumkan bahawa syarikat Bumiputera telah memperoleh sebanyak 80 peratus daripada nilai kontrak tahunan keseluruhan agensi kerajaan.

“Pada masa yang sama, Kerajaan komited untuk memastikan GLC dan GLIC turut menyokong aspirasi penglibatan syarikat Bumiputera dalam perolehan mereka,” katanya selepas mempengerusikan MKB menerusi sidang video semalam bagi membincangkan usaha memperkasa dan memperkukuh pembangunan ekonomi dan sosioekonomi Bumiputera.

Mesyuarat turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad dan disertai Menteri-Menteri Kabinet serta tokoh-tokoh perniagaan Bumiputera.

Perdana Menteri memaklumkan mesyuarat itu antara isi utama ialah membincangkan kadar peratusan pemilikan aset oleh Bumiputera, khususnya dalam pemilikan perumahan dan premis komersial.

“Melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Kerajaan menetapkan untuk membina lebih 500,000 rumah mampu milik untuk golongan bersasar khususnya Bumiputera.

“Justeru, Kerajaan akan memastikan rumah yang dibina bukan sekadar mampu milik tetapi lebih berkualiti dengan lokasi yang lebih strategik. Kerajaan juga mengambil maklum bahawa golongan Bumiputera masih rendah dari segi pemilikan premis perniagaan di pusat beli belah berprestij dan lokasi-lokasi tumpuan pelancongan.

“Walaupun ada di antara pusat beli belah ini dimiliki oleh GLC, namun peniaga Bumiputera dilihat masih kurang berkemampuan mendapatkan ruang perniagaan di premis berkenaan kerana kadar sewa yang dikenakan terlalu tinggi selain faktor persaingan.

“Bagi menangani isu ini, Kerajaan berhasrat menyemak semula pengurusan pusat beli belah yang dimiliki oleh GLC supaya diuruskan oleh syarikat tempatan dalam memastikan peniaga-peniaga tempatan khususnya Bumiputera dapat menjalankan perniagaan mereka di situ,” jelas Ismail Sabri.

Dalam pada itu menurut beliau, agenda utama mesyuarat pada kali ini adalah untuk memuktamadkan Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) yang merupakan hala tuju baharu ekonomi dan sosioekonomi Bumiputera bagi tempoh sedekad yang akan datang.

Katanya lagi, turut dibincangkan ialah isu-isu berkenaan penglibatan Bumiputera dalam projek nasional berskala besar seperti 5G, Bank Digital, polisi perolehan oleh syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta isu-isu berkaitan ekuiti Bumiputera yang masih rendah.

“Mesyuarat juga dimaklumkan bahawa peluang penyertaan syarikat Bumiputera terbuka luas dalam projek-projek pembangunan Sistem Rangkaian 5G oleh sebuah syarikat milik penuh Kerajaan.

“Syarikat Bumiputera akan mendapat manfaat sehingga 60 peratus daripada anggaran keseluruhan kos projek bagi tempoh 10 tahun pelaksanaannya. Sekali lagi, sistem perolehan akan diurus dengan telus dan adil supaya hanya syarikat Bumiputera yang layak atas merit akan mendapat manfaat tersebut,” katanya.

Ujar Perdana Menteri lagi bagi menambahbaik tadbir urus serta penyampaian perkhidmatan mandat dan fungsi berkaitan Bumiputera, Kerajaan akan menubuhkan Unit Pemerkasaan Agenda Bumiputera (UPAB) di setiap Kementerian dan Agensi Kerajaan bagi menyelaras semua inisiatif, dasar dan agenda Bumiputera seperti yang telah diputuskan di peringkat MKB.

Selain itu, menurutnya TERAJU selaku sekretariat MKB turut membentangkan persiapan pelancaran Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) yang dijadualkan berlangsung pada 6 Disember ini di Kuala Lumpur.

“Berdasarkan prinsip kesaksamaan peluang (equitability of opportunities) dan kesaksamaan keberhasilan (equitabilityofoutcomes) TPB2030 dibangunkan TERAJU ini berlandaskan intipati dari Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030), didukung oleh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang terangkum dalam konteks Keluarga Malaysia.

“Selain itu katanya, mesyuarat turut bersetuju supaya fungsi dan peranan TERAJU diperkasa dalam memastikan agenda Bumiputera akan terus relevan dan kompetitif dengan perkembangan ekonomi semasa,” jelas Perdana Menteri.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat