“Saya Bukan Bercakap Dengan Anak Raja Tapi Pemilik kelab JDT” – Sanusi

KUALA LUMPUR – “Saya Presiden KFA, dia (Tunku Ismail) pemilik kelab JDT, saya ada hak (bercakap). Saya bukan bercakap dengan anak raja, saya cakap dengan pemilik kelab JDT, jangan kata saya derhaka pulak.

“Main bola apa kira derhaka tak derhaka. Kalau tidak nak score (jaring) gol kena angkat sembah dulu, mampuih lah kita, nak buat macam mana. Main bola cara bola lah, jangan dok ambil hati pulak, jangan dok heret bola masuk istana,” kata Datuk Seri Sanusi Md. Nor.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menegaskan beliau mempunyai hak untuk bercakap mengenai bola sepak dengan pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah menegaskan, beliau dan Tunku Ismail adalah sama rata ketika berada di padang bola.

Sanusi berkata demikian pada sidang akhbar secara dalam talian selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Wisma Darul Aman, Alor Setar pada Khamis.

Dalam pada itu memetik Utusan, Sanusi berkata, beliau berharap KDA FC dapat menewaskan JDT pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Johor malam ini.

“Saya harap dengan semangat jitu dan kental, azam yang tinggi dalam kalangan pemain, kedah akan dapat menewaskan JDT di kampung halaman mereka sendiri.

“Menang 2-1 pun dah cukup, saya doakan. Kedah pantang kalah, pulun Kedah pulun,” katanya.