KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan anggaran Belanjawan 2025 adalah yang tertinggi pernah diumumkan iaitu RM421 bilion meliputi RM 335 bilion ringgit belanja mengurus, RM86 bilion belanja pembangunan, tidak termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.
Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Kewangan mengumumkan selain peruntukan pembangunan oleh kerajaan, projek secara usaha sama awam-swasta (PFI) bernilai RM9 bilion turut dilaksanakan serta pelaburan langsung domestik oleh syarikat GLIC bernilai RM25 bilion.
“Ini menjadikan pelaburan awam untuk pembangunan tahun 2025 yang berjumlah RM120 bilion.
“Pun begitu, sekarang bukan masanya melaksanakan projek mega.
“Pembangunan negara akan menumpukan kepada projek-projek berkepentingan rakyat serta kemudahan yang menyokong kawasan perindustrian mengikut keutamaan negeri,” ujarnya ketika pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat pada Jumaat.