KUALA LUMPUR – Kira-kira beberapa minit memasuki hari baharu 18 September, media sosial digemparkan dengan dokumen tular yang menyebut tentang perintah tahanan rumah melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, namun Setiausaha Akhbar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, Ahmad Fazli Mohd Yadi menafikan kesahihan tandatangan Hannah pada dokumen itu.
Beberapa platform berita ada melaporkan bahawa Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan akan mengadakan mesyuarat pada hari ini untuk membincangkan perihal permohonan pengampunan bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
Laporan The Straits Times memaparkan bahawa lembaga pengampunan akan mengadakan persidangan semula hari ini, hanya seminggu selepas persidangannya sebelum ini pada 11 September.
Dalam satu hantaran di platform Threads, Ahmad Fazli menyatakan tandatangan itu bukan milik Hannah dan menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah.
“Saya menafikan bahawa itu adalah tandatangan rasmi Hannah Yeoh, dan perkara ini jelas bersifat fitnah.
“Saya akan membuat laporan kepada pihak berkuasa tidak lama lagi,” katanya.
Gambar dokumen berkenaan memperlihatkan satu dokumen yang didakwa memerintahkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah dan sudah ditandatangani.
Pada Julai 2020, Najib didapati bersalah menggelapkan RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dan telah didenda RM210 juta dan dihukum penjara selama 12 tahun.
Lembaga Pengampunan sudah membuat keputusan pada 2 Februari 2024 bahawa hukuman 12 tahun penjara dikurangkan kepada 6 tahun dan denda dikurangkan kepada RM50 juta.



