KUALA LUMPUR -Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Kawasan Lembah Pantai Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin kembali mengingatkan janji Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming untuk meletakkan jawatan sebagai anggota jemaah Menteri sekiranya Datuk Seri Najib Razak dilepaskan tanpa hukuman setimpal.
Dalam hantaran di Facebook pendaki Gunung Everest negara itu pada Jumaat, Muqharabbin mendesak Kor Ming supaya melepaskan jawatan sesuai ikrarnya sebelum ini.
“Nga Kor Ming sila letak jawatan! tulisnya di Facebook mengingatkan pemimpin DAP itu.
Pada 12 Julai lalu, Kor Ming menegaskan beliau tetap berpegang teguh kepada prinsip untuk sedia meletakkan jawatan sebagai anggota jemaah Menteri sekiranya Datuk Seri Najib Razak dilepaskan tanpa hukuman setimpal.
Mengulas desakan sesetengah pihak yang mahu beliau meletakkan jawatan susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Ahli Parlimen Teluk Intan itu meminta orang ramai merujuk semula kenyataan penuhnya ketika wawancara eksklusif bersama Oriental Daily sebelum ini.
Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata, tidak akan teragak-agak menjadi individu pertama melepaskan jawatan menteri sekiranya Najib dibebaskan susulan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada PRN berkenaan.
Dalam wawancara itu, beliau turut mendakwa Umno Johor berulang kali menyuarakan hasrat supaya Najib dibebaskan lebih awal menerusi slogan “Umno menang besar, Najib pulang ke rumah”, yang disifatkannya sebagai garis merah parti itu.
Kor Ming menegaskan, pendiriannya sebagai seorang peguam cara dan peguam bela Mahkamah Tinggi Malaya adalah konsisten dalam memastikan kewibawaan sistem kehakiman negara sentiasa dipertahankan.
“Jika Datuk Seri Najib yang mengakibatkan rakyat Malaysia kini terpaksa menanggung hutang 1MDB sebanyak RM51.4 bilion boleh dilepaskan tanpa menjalankan hukuman yang setimpal dengan kesalahan walaupun sudah didapati bersalah, ia bermakna kewibawaan sistem kehakiman negara ini telah digadai.
“Malah, prinsip kedaulatan undang-undang seperti mana yang termaktub dalam Rukun Negara juga tidak lagi dihormati,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menyatakan kesediaan melepaskan jawatan itu dilakukan demi mempertahankan integriti sistem kehakiman negara dan perkara itu langsung tidak mempunyai kaitan dengan soal peribadi.
“Sekiranya keadaan sedemikian berlaku, demi mempertahankan integriti sistem kehakiman negara kita yang tercinta, saya sudi letak jawatan sebagai anggota jemaah Menteri. Perkara ini tidak ada kaitan dengan soal peribadi, sebaliknya ia satu soal prinsip utama,” katanya.


