Ugutan Kak M ‘kalau aku touch-touch kau ini, berdarah kau ni’, selepas ketahui adiknya diejek oleh Zara Qairina – ketua warden

KUALA LUMPUR – Saksi memberitahu Mahkamah Koroner di Kota Kinabalu pada Khamis, bahawa pelajar dikenali sebagai Kak M hanya mengeluarkan kenyataan berbaur ‘ugutan’ terhadap Zara Qairina Mahathir dan seorang lagi pelajar ketika berada dalam emosi tidak baik.

Azhari Abd Sagap, 31, berkata, Kak M melafazkan kata-kata ‘kalau aku touch-touch kau ini, berdarah kau ni’, selepas mengetahui adiknya diejek oleh Zara Qairina dan seorang pelajar lain.

“Seperti yang saya katakan, Kak M berada dalam keadaan emosi yang tidak stabil. Dia memberitahu kami bahawa ia berpunca daripada biliknya yang kotor dan bersepah.

“Itu sebabnya dia mengatakan perkara itu, hanya itu,” katanya sambil menambah ketika kejadian Kak M kebetulan melalui bilik adiknya dan melihat adiknya berjumpa dengan Zara Qairina bersama pelajar lain pada masa itu.

Saksi inkues kelapan itu berkata demikian ketika ditanya peguam tertuduh kanak-kanak, Joan Goh, berhubung mesej berbaur ugutan yang diterima Zara Qairina di sekolahnya.

Azhari yang juga Ketua Warden asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha itu menjelaskan, Zara Qairina dan pelajar terbabit mengejek adik Kak M yang juga pelajar Tingkatan Dua secara bertulis, meninggalkan nota yang berbunyi: ‘Dia seorang yang ‘sok orku’, sengaja takutkan Form 1 (Tingkatan Satu), padahal baru juga junior’.

Beliau berkata, nama panggilan adik Kak M juga disebut dalam bukti yang diserahkan kepada pihak polis, lapor Harian Metro pada Khamis.

Goh, yang mewakili salah seorang pesalah kanak-kanak yang berkaitan dengan Zara, turut menyoal Azhari mengenai makna ‘sok sok’ dan ‘orku’.

Azhari menjelaskan bahawa ‘sok sok’ bermaksud ‘pura-pura menjadi sesuatu’ manakala ‘orku’ adalah singkatan bagi ‘orang kuat’.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat