Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Menara Kuala Lumpur (Menara KL), mercu tanda ikonik negara disinari cahaya lampu berwarna biru dan emas mulai 17 hingga 19 September 2025 sebagai simbolik ulang tahun ke-50 penubuhan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di negara ini.
Sejak ditubuhkan pada tahun 1975, KRT telah memainkan peranan penting dalam memupuk semangat kejiranan, meningkatkan keselamatan komuniti, serta memperkukuh nilai-nilai harmoni selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan prinsip Rukun Negara.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, KRT menjadi nadi utama kementerian dalam usaha memperkukuh perpaduan di peringkat akar umbi.
Beliau berkata, selama lima dekad, KRT menjadi jambatan yang menyatukan pelbagai kaum dan agama dalam memperkasa semangat kejiranan, memelihara aspek keselamatan serta meningkatkan ekonomi komuniti setempat.
“Saya merakamkan terima
kasih atas kerjasama Menara KL dalam menjayakan inisiatif sambutan ini,”katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn.Bhd, Khairil Faizal Othman, selaku pengendali Menara KL berkata, pihaknya berbesar hati dapat bersama-sama Kementerian Perpaduan Negara meraikan sambutan 50 Tahun Kawasan Rukun Tetangga.
“Sebagai mercu tanda ikonik negara, Menara KL sentiasa menyokong inisiatif yang membawa mesej perpaduan dan kebersamaan rakyat.
“Penyalaan lampu khas ini bukan sahaja simbol sokongan, tetapi juga satu penghormatan kepada peranan besar KRT dalam menyatukan komuniti sejak lima dekad lalu, ”ujarnya.
Sehingga kini, terdapat 8,586 KRT di seluruh negara merangkumi lapan bidang tumpuan utama, iaitu Ekonomi dan Sara Hidup, Keselamatan dan Ketahanan Komuniti, Kepimpinan, Kesejahteraan Komuniti, Pembelajaran Sepanjang Hayat, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya serta Daya Cipta.
Selepas separuh abad, KRT kekal sebagai mercu tanda perpaduan masyarakat majmuk, penggerak komuniti progresif, dan nadi kesejahteraan rakyat.- SUARA.TV



