KUALA LUMPUR – Seramai 60 anggota dan pegawai Jabatan Imigresen (JIM) dibuang kerja selepas terlibat dalam pelbagai salah laku sejak 2022.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata, dalam tempoh sama sebanyak 301 kes tatatertib masih dalam tindakan, selain pihaknya menyiasat 227 kes melibatkan pintu masuk negara.
“Sepanjang 2024, JIM telah menyelesaikan 254 kes tatatertib manakala pada 2025 pula sebanyak 199 kes berjaya ditangani.
“JIM menegaskan tindakan berterusan itu membuktikan ketelusan jabatan melaksanakan tanggungjawab tatatertib berlandaskan prinsip Kerajaan Madani,” katanya dalam kenyataan, pada Khamis.
Sebelum ini, pelbagai barangan mewah termasuk barang kemas seberat kira-kira 3.2 kilogram bernilai anggaran RM1.6 juta dan 75 kepingan emas bernilai kira-kira RM400,000 disita daripada enam individu termasuk lima pegawai JIM untuk siasatan kes counter setting.
Sitaan itu dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada minggu lalu.
Operasi terbabit telah menahan sekurang-kurangnya 20 pegawai dan anggota JIM serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
Zakaria berkata, tindakan itu membuktikan komitmen JIM untuk memastikan setiap warga kerja kekal berintegriti, beramanah dan bertanggungjawab dalam melindungi kedaulatan negara serta menjaga kepentingan rakyat.
“JIM memandang serius berhubung isu salah laku dan tidak akan berkompromi terhadap pegawai dan anggota yang terlibat.
“Isu keselamatan negara amat ditekankan dalam usaha membendung masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) dan jenayah melibatkan warga asing,” katanya.



