KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim menyangkal kononnya Bersatu menanggung sepenuhnya perbelanjaan parti komponen Perikatan Nasional (PN) sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Wakil rakyat Pas itu sebaliknya mendedahkan, beliau terpaksa korek tabung sendiri termasuk menjual tanah miliknya.
“Pilihan raya Parlimen 2022 dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu 2023 (ekoran petisyen), kedua duanya saya dan jentera PN di Kuala Terengganu kena korek tabung sendiri termasuk jual tanah saya.
“Terkejut juga bila timbul kata ada yang beri peruntukan ni. Beri kat siapa? Saya tanya kawan kawan di Parlimen yang lain ada dapat ke? Takut saya seorang sahaja yang tercicir.
“Mereka cakap tiada terima apa pun. Satu Terengganu semua kena pecah tabung sendiri sumbangan ahli dan penyokong juga. Kalau betul ada, rasa ralat lah juga,” ujar beliau.
Ahmad Amzad mengucapkan terima kasih kepada Pengarah Pilihan Raya Pas Datuk Seri Sanusi Md Nor kerana sentuh sikit sahaja.
“Yang rakan kita beritahu ada bantu tu, kita hargai juga. Cuma tak sampai la kat kita.
“Insya-Allah kita pakat kemas mana yang longgar, betulkan yang mana ada kekurangan. Bagus juga sekali sekala muhasabah.
Semoga PN semakin gagah,” katanya.
Pada Rabu, bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad mendedahkan bahawa keseluruhan kos pilihan raya PN pada PRU15 telah ditanggung sepenuhnya oleh Parti Bersatu.
Beliau menjelaskan, anggaran kos minimum bagi satu kawasan Parlimen boleh mencecah RM1 juta, dan jumlah sebenar berpotensi lebih besar bergantung kepada keadaan setempat.
Menurutnya, Pas tidak menghadapi masalah besar berhubung perbelanjaan PRU15 apabila mereka bertanding menggunakan logo PN dan semua peralatan pilihan raya yang menggunakan logo PN disediakan oleh PN.



